PORT DICKSON - Kerajaan Negeri Sembilan sedang mengenal pasti sukan air yang bersesuaian untuk diketengahkan dalam usaha menjenamakan semula Pesta Sukan Air Port Dickson Alaf Baharu.
Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor berkata, ia akan menjadi acara tahunan selain dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri 2025.
"Ia sekali gus menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke negeri ini seperti mana kegemilangan dan kemeriahan pesta itu yang pernah dilaksanakan pada tahun 1990-an.
"Kita akan mulakan dengan kaedah dan pengisian baru sesuai dengan zaman sekarang, selari dengan minat orang muda, sebab itu kerajaan negeri sediakan platform dan kemudahan berkaitan dengan memberi peluang kepada mana-mana pihak untuk menjayakannya bersama," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Fiesta Pantai Port Dickson di sini pada Jumaat.
"Tidak ada yang tidak mustahil melainkan usaha dari segenap pihak bekerjasama merealisasikannya.
"Di Negeri Sembilan, para pengunjung boleh menyaksikan acara-acara sukan pantai hanya di Port Dickson, malah dengan adanya program seperti ini ia dapat memberi impak yang besar dalam pembangunan pelancongan dan sosioekonomi di daerah Port Dickson.
"Acara-acara yang diadakan bukan hanya melibatkan penduduk tempatan malahan para peserta luar Negeri Sembilan, secara tidak langsung, mereka datang bersama keluarga, bercuti dan bermalam di Port Dickson dan berbelanja," katanya.
Dalam pada itu mengenai program selama dua hari anjuran Pejabat Exco Pembangunan Belia Sukan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) ini, ia membabitkan beberapa segmen.
Antara aktiviti disediakan adalah acara sukan pantai seperti pertandingan bola jaring pantai, bola sepak pantai, sepakan penalti pantai, pertandingan kabadi, stand up paddle, berkayak, persembahan api, perahu berhias, pertunjukkan jet ski selain segmen kerohanian seperti podcast keagamaan bersama PU Rahmat, qasidah dan penyampaian sumbangan kepada asnaf.