Kafe hiburan digempur, 15 ditahan termasuk 13 gadis pelayan

Iklan
Sebanyak 13 gadis pelayan dan dua tukang masak lelaki asing ditahan dalam serbuan yang dijalankan di premis kafe hiburan di sekitar Batu Berendam di sini malam tadi. Foto Jabatan Imigresen Melaka

MELAKA - Sebanyak 13 gadis pelayan dan dua tukang masak lelaki asing ditahan dalam serbuan yang dijalankan di premis kafe hiburan di sekitar Batu Berendam di sini malam tadi.

Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, kesemua mereka merupakan warga asing yang berasal dari Thailand, Laos dan Myanmar, berusia antara 20 hingga 45 tahun.

Iklan
Iklan

"Operasi membabitkan 16 penguat kuasa Imigresen Melaka selama sejam itu, berdasarkan aduan diterima daripada orang awam serta penduduk setempat.

"Lokasi diserbu merupakan restoran dan premis tidak berlesen yang dijadikan pusat hiburan, disyaki menggajikan warga asing yang beroperasi sejak dua bulan lepas,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Iklan

Anirwan berkata, kesemua yang ditahan dikenal pasti tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa tanpa pas dan permit yang sah, selain melanggar syarat pas atau permit dan lain-lain kesalahan di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen.

Beliau berkata, sebanyak dua saman kepada saksi (Borang 29) dikeluarkan untuk mereka hadir ke pejabat Imigresen Melaka, bagi memberi kenyataan dan membantu siasatan.

Iklan

"Pihak kita juga sedang mengesan pemilik kafe hiburan tersebut untuk tindakan lanjut dan kesemua warga asing ditahan dan dibawa ke Pejabat Imigresen Bahagian Penguatkuasa untuk siasatan lanjut,” katanya. - Bernama