Suapan pertama selepas 12 tahun berkahwin petanda suami pergi selamanya

Iklan
Nor Hidayah dan Muhammad Syukri bersama anak-anak.

SHAH ALAM - Seorang wanita tidak menyangka suapan pertama selepas 12 tahun perkahwinan menjadi permintaan terakhir suaminya, Muhammad Syukri Lukman, 38, sebelum disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Suri rumah, Nor Hidayah Hashim, 37, berkata, bukan itu sahaja malah arwah juga seolah-olah memberi bayangan dengan memintanya merakam kenangan bersama-sama selain merapikan dirinya.

Iklan
Iklan

Wanita itu berkata, Muhammad Syukri telah dirawat selama 28 hari di salah sebuah hospital kerana mengalami masalah jantung tersumbat hampir 90 peratus sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 15 Disember lalu.

"Pada 14 Disember, suami kata nak makan ayam goreng dari salah sebuah restoran makanan segera. Jadi saya tunaikan permintaan arwah dan dia minta saya suapkan dengan alasan malas nak bangun basuh tangan.

Iklan

"Selepas makan, dia minta juga saya potong kuku kaki, tangan dan cuci telinga dia macam arwah sudah dalam keadaan bersedia. Arwah tak sempat buat pembedahan dan saya tak sangka ini menjadi yang terakhir,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Muhammad Syukri menerima rawatan di salah sebuah hospital.

Tambah Nor Hidayah, dia kemudian mendapat panggilan daripada pihak hospital kira-kira jam 1 pagi pada 15 Disember lalu bagi memohon kebenaran untuk melakukan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kerana jantung terhenti.

Iklan

Bagaimanapun, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, setibanya ke hospital berkenaan, Muhammad Syukri telah menghembuskan nafas terakhirnya selepas hampir satu jam CPR.

"Bila sampai, saya dah dengar bunyi mesin yang menunjukkan arwah dah tiada tetapi doktor pakar minta izin nak cuba CPR lagi 10 minit... jantung tetap tiada tindak balas dan saya rasa dunia saya sudah gelap waktu kejadian.

"Saya ibarat patah sebelah kaki. Arwah seorang suami yang sangat baik dan mementingkan anak-anak serta isteri dia... tak pernah kata tidak untuk apa sahaja permintaan kami.

"Arwah juga seorang yang menjaga tutur kata, malah, ramai juga kawan-kawan dan bekas majikan yang turut bercerita mengenai kebaikan arwah. Kami amat berasa kehilangan tetapi kami reda dengan pemergian arwah,” ujarnya.