SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan pihak yang mengeluarkan pandangan kurang enak terhadap penganjuran Festival Darul Ehsan Berselawat hanya mewakili pandangan minoriti.
Amirudin berkata, kehadiran yang ramai pada majlis pembukaan festival pada Jumaat menunjukkan acara masuk tahun ketiga itu dinantikan orang ramai untuk berselawat dan memuji junjungan Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya, kerajaan negeri mengambil pendirian untuk meneruskan program itu walaupun mendapat tentangan, kritikan dan sindiran segelintir pihak.
"Ini adalah untuk menyuburkan rasa cinta dan mengasihi Rasullullah SAW, ahli keluarga serta sahabat baginda seperti dituntut dalam ajaran kita.
"Biarkan mereka dengan kritikan dan sindiran mereka. Saya percaya orang Islam di nusantara, Malaysia dan Indonesia akan patuh dengan ahli sunnah wal jamaah, akan terus mencintai Rasulullah," katanya berucap pada hari pertama Festival Darul Ehsan Berselawat di Setia City Park Oval Lawn pada Jumaat.
Sebelum ini, penganjuran festival berlangsung selama tiga hari hingga Ahad ini mendapat kritikan segelintir pihak selepas penganjur menjemput pendakwah dari Indonesia, Gus Azmi.
Pendakwah muda itu terkenal dengan tabiat merokok serta berani merokok di atas pentas.
Justeru, tindakan penganjur mengundang Gus Azmi dalam majlis agama dibimbangi memberi contoh tidak baik kepada masyarakat tambahan pula telah difatwakan rokok adalah haram di Malaysia.
Selepas meneliti pelbagai aspek, penganjur membuat ketetapan meneruskan festival itu tanpa penglibatan pendakwah tersebut.
Dalam pada itu, Amirudin menegaskan, Selangor akan terus dengan program berbentuk keagamaan membangunkan manusiawi.
"Selangor sebagai negeri maju, rakyatnya juga perlu subur keimanan dan kecintaan kepada Rasullullah yang akan membenih generasi tunduk kepada ALLAH SWT dan berbuat baik sesama manusia, alam serta melakukan tindakan betul sebagai khalifah di muka bumi.
"Justeru majlis seperti selawat, zikir dan pengajian ilmu turath akan menjadi salah satu pengisian kerajaan negeri.
"Tahun depan festival turath dan kesenian Islam akan diisi dengan Darul Ehsan Berselawat dengan peruntukan lebih RM3 juta," katanya.