Trend agihan, kutipan zakat terus bertambah

Iklan
Golongan asnaf perlu dibantu dari segi ekonomi dan sosial bagi meningkatkan taraf hidup.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus berusaha dalam memastikan bantuan zakat diagihkan secara telus dan efisien kepada lapan golongan asnaf seperti yang digariskan oleh syarak.

Pembahagian zakat bukan hanya memenuhi keperluan fizikal tetapi juga menyuburkan jiwa umat Islam menerusi kebaikan dan kebajikan.

Umat Islam perlu menunaikan kewajipan berzakat iaitu rukun Islam ketiga khususnya dalam membantu masyarakat asnaf.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) sentiasa proaktif dalam memastikan setiap golongan asnaf tidak tercicir daripada terus dibantu sehingga mereka mampu keluar daripada kepompong kemiskinan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, selama hampir tiga dekad memikul amanah ini, institusi LZS akan terus berusaha memudahkan pelbagai kaedah agihan dan kutipan zakat bagi membantu golongan asnaf.

MOHD SABIRIN
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Menurutnya, walaupun pelbagai cabaran yang telah LZS hadapi bagi menyampaikan sumbangan zakat kepada golongan asnaf di Selangor namun semua itu perlu dilaksanakan secara telus serta amanah.

Jelasnya, dengan penggunaan teknologi terkini kutipan dan agihan zakat lebih mudah malah orang ramai kini tidak perlu beratur panjang untuk menjalani tanggungjawab rukun Islam ketiga itu.

"Selama 30 tahun LZS berkhidmat untuk golongan asnaf, kami telah melalui pelbagai cabaran. Ketika kami memulakan operasi, segala proses dilakukan secara manual, termasuk kaedah kutipan dan agihan.



"Namun, seiring dengan perubahan zaman, LZS telah melakukan transformasi secara progresif,beralih dari sistem manual kepada digital untuk meningkatkan efisiensi dan memberikan perkhidmatan yang lebih pantas serta lebih mudah diakses oleh masyarakat.

"Sebelum ini, kita mencari asnaf pun kena cari satu persatu masuk sampai kawasan kampung, masuk hutan sampai sesat. Masa itu hanya staf kami yang buat kerja-kerja ini. Pergi cari asnaf dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata, keadaan kini jauh berbeza berbanding waktu awal penubuhan LZS.

Program bimbingan LZS telah membantu ramai usahawan asnaf.


"Kami telah mengukuhkan kerjasama strategik dengan melantik hampir 2,000 penolong amil kariah di seluruh negeri Selangor yang berperanan membantu menjejaki golongan yang memerlukan dan ejen kutipan zakat yang membantu memudahkan kutipan di Selangor.

"LZS turut mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan kutipan zakat secara dalam talian di semua platform digital bagi memudahkan masyarakat untuk menunaikan kewajipan mereka,” katanya.