KAJANG – Kakitangan Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang berpeluang menjalani terapi al-Quran supaya dapat meningkatkan kekuatan rohani dan seterusnya dapat menjadi pekerja yang cemerlang.
Menurut jururawat di hospital tersebut, Syafini Ab Halim, 46, beliau berkongsi perasaan teruja kerana dapat menyertai program berinteraksi dengan al-Quran dan melihat aktiviti tersebut sebagai satu terapi minda.
"Tidak sekadar membaca al-Quran, malah kita perlu mengambil inisiatif untuk memahami al-Quran melalui terjemahan dan tadabbur agar dapat mempraktikkan nilai mulia itu dalam kehidupan," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Program Soul Fitness & Wellness #QuranHourdengan yang dilakukan dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), itu berlangsung di Auditorium HSIS Serdang, Jalan Puchong, dekat sini.
Acara dimulakan dengan bacaan penuh penghayatan daripada Surah al-Fatihah, Surah al-Baqarah ayat 1 hingga 5, dan Surah al-Saff.
Dalam pada itu, Pembantu Tadbir Unit Hal Ehwal Islam, Muhammad Syadiq Zomorni, 29, turut tertarik dengan bacaan taranum al-Quran oleh qari kerana ia dapat menarik hati untuk mendengar dan mempelajari cara bacaan yang betul dari segi tajwid.
"Apabila kita tertarik dengan al-Quran, ia secara langsung menarik minat untuk mendalami penghayatan al-Quran.
"Saya juga tertarik dengan ayat 11 dalam Surah al-Saff, mengenai cara ALLAH SWT memberitahu kita untuk berjihad dengan harta dan jiwa. Ia amat bersesuaian dengan corak kerja saya di hospital untuk berjihad di medan kerja.” ujar beliau.
Dalam pada itu, Penyelia Jururawat, Norizan Ishak, 52, berharap aktiviti kerohanian itu dapat diadakan secara berkala bagi mengisi jiwa dengan panduan al-Quran dan Sunnah.
"Untuk menangani tekanan di tempat kerja, seseorang yang berpengalaman tidak wajar meletakkan kayu ukur pencapaian hasil kerja dengan orang yang baru bekerja.
"Mereka perlu memahami dan membantu orang kurang berpengalaman untuk meningkatkan prestasi kerja,” jelas beliau.
Program tersebut turut menampilkan format ala podcast yang interaktif dan santai yang dikendalikan oleh Daie Muda Yadim, Hifdzi Zaim Zamri, bersama panelis jemputan, Konsultan Kandungan WUIF, Ustaz Ahmad Saifuddin Yusof.
Perbincangan mereka menyentuh aspek penting bagaimana al-Quran boleh menjadi sumber inspirasi dalam membina kesejahteraan fizikal dan emosi, terutamanya bagi petugas kesihatan yang sering terdedah kepada tekanan kerja.
Mengulas lanjut mengenai program itu, Ahmad Saifuddin berkata, petugas hospital termasuk doktor, pembantu perubatan, jururawat, dan pekerja berhadapan dengan pelbagai situasi yang memberikan tekanan setiap hari.
Oleh itu, jelas beliau, kakitangan di hospital tersebut perlu saling membantu untuk meringankan beban dan tekanan mental.
"Sikap ‘jaga tepi kain orang’ boleh dipraktikkan di tempat kerja dengan tujuan mengambil berat antara satu sama lain. Bertanya khabar bukan untuk menyiasat atau menyibuk hal orang lain, sebaliknya bersedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.
"Kita boleh menjadi pendengar yang baik dan prihatin dengan rakan sekerja. Apabila seseorang itu dalam keadaan tertekan, kita perlu menjaga kata-kata kepadanya.
"Orang yang menghadapi masalah boleh berkongsi cerita dengan orang yang benar-benar dipercayai dan boleh membantu.
"Sebagaimana kisah Rasulullah SAW menyantuni sahabat, Jabir bin Abdullah yang sedang berduka cita. Beliau kehilangan bapa yang mati syahid, meninggalkan hutang, dan adik-beradik yang ramai untuk dijaga.
"Baginda SAW menenangkan Jabir dengan mengkhabarkan bahawa bapanya itu mendapat pengiktirafan ALLAH SWT.
"Selain itu, Rasulullah SAW mengajar doa kepada sahabatnya, Abu Umamah, yang berduka cita dalam berhutang. Doa bermaksud:"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kegelisahan dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut, dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang serta kezaliman manusia." katanya.
Sehubungan itu, jelas beliau, keikhlasan adalah nilai penting dalam bekerja dan ia perlu dilakukan setiap hari untuk mendapat keredaan ALLAH SWT. Mereka yang bekerja di hospital umpama jihad di jalan ALLAH.
"Ayat 4 dalam Surah al-Saff menyebut, ALLAH SWT mengasihi orang yang berperang untuk membela agama-Nya dalam barisan yang teratur seolah-olah sebuah bangunan tersusun kukuh," kata beliau.
Sementara itu, Kader JAKIM, HSIS Serdang, Ustaz Azhar Wi berkata, program #QuranHour itu memberi pendedahan kepada hampir 100 warga kerja yang hadir untuk mendapat ibrah daripada al-Quran.
"Mesej al-Quran perlu disebarluaskan kepada semua lapisan masyarakat untuk berkongsi kebaikan. Diharapkan pesanan daripada Kalam ALLAH SWT berbekas di hati, dan dijadikan panduan dalam bidang kerjaya, keluarga, dan masyarakat yang lebih baik,” ujarnya.
Program Soul Fitness & Wellness #QuranHour merupakan kesinambungan projek Quran Corner yang dibuka oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi mencapai misi WUIF iaitu MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah.
Quran Corner merupakan projek wakaf al-Quran daripada ummah untuk ummah yang diuar-uarkan melalui program My #QuranTime.
Mana-mana pihak yang berminat untuk membuka Quran Corner dan menganjurkan program Soul Fitness & Wellness #QuranHour, sila hubungi wakil WUIF di 011-6113 8680 atau layari Facebook QuranHour.