ALOR SETAR - Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Haim Hilman Abdullah mendakwa kenyataannya berhubung kemasukan pelajar ke universiti awam baru-baru ini telah diambil di luar konteks hingga menimbulkan kontroversi.
Haim Hilman berkata, beliau hanya bertindak memperjuangkan nasib pelajar miskin yang tidak dapat mengikuti program kompetitif antaranya kejuruteraan, perakaunan dan perundangan disebabkan faktor tertentu.
Beliau juga tidak menolak kemasukan pelajar dari keluarga berkemampuan untuk mengikuti pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui saluran komersial, namun perlu ada usaha daripada pihak berkaitan untuk melakukan penambahbaikan mengenainya.
"Seperti dinyatakan Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) semalam (Rabu), terdapat dua laluan untuk ke IPTA iaitu melalui saluran perdana yang mengambil sebahagian besar pelajar B40 dan saluran komersial yang mengambil pelajar dalam kalangan keluarga T20 serta antarabangsa.
Menurutnya, ia berbeza dengan saluran komersial apabila pelajar terlibat diterima masuk ke program kompetitif bukan kerana merit sebaliknya memadai dengan CGPA minimum.
"Asalkan mereka membayar penuh yuran pengajian berkaitan. Inilah yang saya persoalkan iaitu sebahagian tempat belajar yang sepatutnya dipenuhkan berdasarkan merit, telah diperuntukkan untuk pelajar saluran komersial ini,” jelasnya.
Haim Hilman yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah berkata, sebagai contoh terdapat universiti yang menetapkan cut off CGPA 3.95 atau 4.00 untuk mengikuti program kritikal termasuk perubatan menyebabkan pelajar miskin yang memperoleh CGPA antara 3.90 hingga 3.94, tidak mendapat tempat walaupun CGPA minimum untuk mengikuti program tersebut cuma 3.5 saja.
"Pada asasnya pelajar ini gagal dalam permohonan kerana tempat ditawarkan dalam saluran perdana terhad tetapi pelajar dari saluran komersial dapat mengikuti program tersebut kerana mereka tidak bersaing atas faktor merit.
"Di sinilah kekhilafan IPTA kerana sanggup membiarkan anak bangsa yang miskin dinafikan hak mengikuti program kritikal diminati semata-mata kerana cut off ditetapkan walaupun mereka memiliki CGPA jauh lebih tinggi daripada pelajar yang masuk melalui saluran komersial,” tegasnya.
Beliau juga tidak bermaksud mahu menentang saluran komersial sebaliknya menuntut supaya kerajaan mencari jalan ke arah penambahbaikan agar pelajar yang hadir dari saluran tersebut turut mendapat manfaat setimpal dengan pembayaran dilakukan.
"Saya bersetuju dibentuk saluran komersial jika IPTA membangunkan kampus khas untuk fakulti berkaitan. Dalam erti kata lain, segalanya diuruskan seperti sebuah universiti swasta dan di sinilah anak-anak syarikat universiti berkenaan sepatutnya memainkan peranan,” tambahnya.