ARSENAL terpaksa melupakan khidmat Bukayo Saka, 23, selama lebih dua bulan selepas penyerang The Gunners itu menjalani pembedahan kecederaan hamstring menurut pengendali, Mikel Arteta.
"Dia sedang mengikuti prosedur, dan semuanya berjalan lancar, namun malangnya dia akan tersisih selama beberapa minggu.
Iklan
Iklan
"Biarpun begitu saya fikir ia akan menjadi lebih daripada dua bulan. Ia bergantung pada proses kesembuhan tisu... kita tunggu dan lihat, sangat sukar untuk menjangkakannya," kata bekas pemain Arsenal dari Sepanyol itu selepas Gunners menewaskan Ipswich Town 1-0 di Stadium Emirates.
Jaringan tunggal Kai Havertz minit ke-23 sudah cukup membolehkan kelab London itu mengumpul mata ke-36 selepas mengharungi 18 perlawanan hasil 10 kemenangan, enam seri dan dua tewas.
Sebagai rekod, Saka telah menjaringkan lima gol dan 10 bantuan dalam liga musim ini juga antara peledak utama Arsenal terpaksa dikeluarkan dalam perlawanan menentang Crystal Palace.
Perlawanan di Stadium Selhurst Park yang menyaksikan kemenangan 5-1 itu, Saka juga meninggalkan stadium dalam keadaan bertongkat.
Pada Oktober dan November, tonggak England itu terlepas tiga perlawanan Liga Negara serta kekalahan 0-2 aksi liga di Bournemouth dan kemenangan 1-0 Liga Juara-Juara ke atas kelab Ukraine, Shakhtar Donetsk kerana kecederaan yang sama.