KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas dadah jenis heroin base bernilai RM1.2 juta menerusi dua serbuan di Lembah Klang, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, serbuan pertama kira-kira jam 5.30 petang pada 23 Disember lalu oleh sepasukan JSJN Bukit Aman telah menahan sebuah kereta jenis Honda City dan tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun di Bukit Gasing, Petaling Jaya, Selangor.
Menurutnya, pemeriksaan menemui 20 ketulan mampat disyaki dadah heroin base seberat 7.4 kilogram (kg).
"Ekoran itu kira-kira jam 9.30 pagi Jumaat, satu lagi serbuan di sebuah rumah di Puchong, Selangor dilakukan.
"Polis berjaya menjumpai 16 ketulan mampat disyaki heroin base dianggar seberat 5.9 kg," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, keseluruhan dadah seberat 13.3kg yang dirampas bernilai RM1.2 juta dan boleh digunakan oleh seramai 900,000 orang penagih.
"Semakan mendapati suspek memiliki satu rekod dadah.
"Suspek direman tujuh hari sehingga 30 Disember untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas," ujarnya.
Justeru, Kok Chin menjelaskan, JSJN sentiasa komited untuk membanteras pengedaran dadah dengan lebih agresif bagi memastikan masyarakat bebas daripada ancaman dadah dan sebarang makkumat boleh disalurkan di Hotline JSJN di talian 012-2087222.