'Belum diuji masalah kesihatan, ramai artis tidak carum PERKESO' - Karyawan

Iklan
Radhi (kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Tumpat.

TUMPAT - Masih ramai artis kurang kesedaran untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang mungkin mengakibatkan mereka sukar meneruskan kehidupan jika terlantar sakit.

Justeru, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menggalakkan artis terutama ahli persatuan itu mencarum untuk masa depan selepas tidak mampu bekerja.

Iklan
Iklan

Timbalan Presiden Karyawan, Radhi Khalid berkata, ada artis yang belum nampak keistimewaan PERKESO menyebabkan mereka tidak peduli untuk mencarum walaupun persatuan itu sudah mengadakan kerjasama memberi penjelasan mengenai perkara itu.

"Kita nampak kurang memberangsangkan, kebanyakannya tidak peduli termasuk artis dan ada yang tidak 'study' (mengenai PERKESO).

Iklan

"Kita sudah memberi kesedaran tetapi maaf cakap, mungkin sebab belum diuji dengan kesakitan dan tidak pernah dirawat di hospital atau kemalangan, mereka tidak nampak kebaikan PERKESO," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di Hospital Tumpat pada Jumaat.

Jelas beliau, Karyawan mengambil berat kira-kira 4,000 ahli dan pernah menjalin kerjasama dengan PERKESO, syarikat insurans dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain penerangan mengenai MySalam.

Iklan

"Pendapatan artis tidak menentu, kita bukan seperti Bollywood atau Hollywood.

"Jadi siapa yang akan kita persalahkan jika tidak pandai menyimpan atau mencarum," katanya lagi.

Jelas Radhi, ada artis yang tidak mahu mengeluarkan wang untuk mencarum walaupun hanya RM50 setahun.

Bercerita pengalaman sendiri, Radhi memberitahu, pernah jatuh dan sampai satu tahap mahu meminjam along tetapi berusaha sendiri tanpa berhutang.

"Alhamdulillah saya kini kembali stabil selepas sokongan keluarga dan ada sedikit simpanan dalam insurans dan KWSP," katanya.

Tambahnya lagi, ada artis yang menyesal dan mula mencari persatuan dan menyalahkan kerajaan kerana tidak membantu.

"Mereka mula memaksa untuk mendapatkan bantuan, bukan kita nak ungkit tapi apabila kita sendiri tidak prihatin pada diri, jangan minta dengan orang lain.

"Ketika sukar anak keluarga pun belum tentu mahu tolong, jadi tolong diri sendiri," katanya.

Radhi sebelum itu menyampaikan sumbangan kepada 100 mangsa banjir yang sebahagian besarnya merupakan kakitangan Hospital Tumpat hasil kerjasama Karyawan dan YaPEIM.

Seramai lapan artis turut serta pada program tiga hari bermula Khamis termasuk penyanyi Zur Eda, Norshila Amin dan Mawi.