Terbuka Malaysia 2025: Tiada tekanan, tiada keseronokan, kata Yogendran

Iklan
Ketua jurulatih perseorangan wanita, K. Yogendran ditemui media selepas sesi latihan skuad badminton kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini. Foto Bernama

TEKANAN adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan bagi mana-mana pemain badminton, lebih-lebih lagi apabila bertanding di gelanggang sendiri, seperti dalam kejohanan Terbuka Malaysia 2025 yang akan berlangsung bulan depan, kata jurulatih perseorangan lelaki negara, K Yogendran.

Beliau menekankan, kepentingan untuk menunjukkan semangat juang di gelanggang, kerana ia lebih penting daripada segala-galanya.

Iklan
Iklan

Walaupun Yogendran, 42, tidak menetapkan sasaran khusus dalam kejohanan Terbuka Malaysia, namun beliau kekal optimis bahawa keputusan yang baik akan diperoleh sekiranya pemain-pemainnya melaksanakan strategi dengan berkesan.

"Saya tidak menyasarkan pusingan pertama, pusingan kedua, atau apa-apa yang khusus, tetapi jika kita melakukan perkara yang betul, keputusan akan datang dengan sendirinya. Sasaran saya adalah agar pemain-pemain masuk ke gelanggang dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Iklan
Bekas pemain negara itu juga berharap agar pemain badminton tempatan dapat mengakhiri kemarau gelaran negara pada kejohanan pembukaan musim yang dijadualkan di Axiata Arena dari 7 hingga 12 Januari depan.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, merupakan pemain Malaysia terakhir yang memenangi gelaran Terbuka Malaysia pada tahun 2018.

Kejohanan Super 1000 menawarkan jumlah hadiah wang sebanyak USD1.45 juta (kira-kira RM6.48 juta).

Iklan

Sementara itu, Yogendran menyambut baik kedatangan Kenneth Jonassen dari Denmark sebagai ketua jurulatih perseorangan yang baharu, sambil menyatakan keyakinan bahawa kepimpinannya akan membantu membentuk skuad yang kuat dan berupaya bersaing untuk gelaran utama pada masa hadapan.

Jonassen, bekas pemain antarabangsa itu akan memulakan tugasnya pada 4 Jan, dengan kontrak selama empat tahun yang berlangsung hingga 2028.

Jurulatih berusia 50 tahun itu memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan besar pemain perseorangan lelaki nombor empat dunia, Viktor Axelsen, termasuk memenangi gelaran Kejohanan Dunia pada 2017 dan pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020. - Bernama