SERDANG - Hadiah wang tunai lebih RM27,150 menanti pemenang pertandingan Cuti-Cuti Malaysia Cabaran Tasik Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Ahad.
Pertandingan anjuran Joran Unggul Event Management (JoranUnggul) itu bertujuan mempromosikan pelancongan domestik menerusi kempen Cuti-Cuti Malaysia serta mendapat sokongan Tourism Malaysia dan Mardi Corporation Sdn Bhd (MardiCorp).
Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,00, naib juara menerima RM3,000 dan ketiga RM1,000.
Pemenang keempat menerima RM600, kelima RM500, keenam hingga 10 (RM250) dan ke-11 hingga 100 masing-masing menerima RM120.
Sempena pertandingan itu penganjur melepaskan ikan ke Tasik MAEPS yang disempurnakan oleh Penolong Pengurus JoranUnggul, Rozaini Kamarudin.
Turut serta, wakil MardiCorp, Siti Shafiza Sheikh Nordin dan Pengurus Acara JoranUnggul, Izhar Nordin.
Rozaini berkata, pertandingan itu akan berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan merupakan acara terakhir yang dilaksanakan oleh JoranUnggul.
"Pelepasan ikan ini adalah simbolik. Banyak spesies ikan menghuni dasar Tasik MAEPS ini terutamanya patin, tongsan, keli, lampam, jelawat, rohu dan lain-lain.
"Acara ini bertujuan menyokong usaha Tourism Malaysia mempelbagaikan aktiviti berteraskan pelancongan domestik dalam kempen Cuti-Cuti Malaysia.
"Insya-ALLAH acara ini dapat menarik pemancing dari sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang sekali gus membantu peniaga kecil di sekitar Serdang,’’ katanya.
Kaunter pendaftaran akan dibuka di lokasi pertandingan pada jam 4 petang hingga 10 malam pada Sabtu dan dibuka semula jam 7 pagi Ahad.
Semua spesies ikan dipertandingkan berdasarkan kepada kategori ikan terberat sahaja dan yuran penyertaan ialah RM70 untuk satu joran.