KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima beberapa laporan polis berhubung kes Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan tersebut pada beberapa hari sebelum ini.
Beliau berkata, kes tersebut masih dalam tindakan dan siasatan pihak polis.
"Saya mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah menerima laporan berhubung kes Hannah Yeoh.
"Sebanyak tujuh laporan polis telah diterima setakat ini," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Sabtu.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan Gerakan Pembela Ummah Malaysia (Ummah) mendesak Hannah meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet serta-merta susulan tuduhan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa berkata, sebagai seorang pemimpin, Hannah wajar mengundurkan diri bagi menjaga kredibiliti dan integriti kerajaan.
Menurutnya, ia berikutan keputusan mahkamah pada Isnin menolak saman Hannah dan menunjukkan bahawa tuduhan itu tidak berasas mahupun berlandaskan fakta kukuh.