'Hukuman sebat permulaan Terengganu daulatkan hukum Islam' - Exco

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat mengenai pesalah khalwat selesai disebat enam kali di khalayak ramai. Gambar kecil: Muhammad Khalil

KUALA TERENGGANU - Pelaksanaan hukuman sebatan syariah bagi pesalah khalwat berulang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang pada Jumaat merupakan permulaan Terengganu mendaulatkan hukum Islam di negeri ini.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia juga merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri bagi mendukung hukum Islam di Terengganu dan negara ini.

Iklan
Iklan

Muhammad Khalil berkata, langkah itu merupakan salah satu usaha Terengganu untuk memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran sejajar dengan aspirasi rakyat yang mahukan pelaksanaan undang-undang Islam secara holistik.

Justeru, beliau berharap usaha tersebut menjadi model kepada negeri-negeri lain di Malaysia dalam mengangkat kedudukan undang-undang syariah di negara ini.

Iklan

"Alhamdulillah, kerajaan Terengganu dengan penuh rasa tanggungjawab dan keinsafan bersyukur atas pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara semalam (Jumaat).

"Pelaksanaan hukuman takzir di bawah bidang kuasa negeri ini bukan sahaja mencerminkan ketegasan Terengganu dalam melaksanakan undang-undang syariah.

Iklan

"Tetapi ia juga bertujuan memelihara kesejahteraan masyarakat serta mendidik umat Islam tentang keadilan dan hikmah dalam perundangan Islam," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, hukuman sebatan syariah dilaksanakan mengikut garis panduan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Takzir) dan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Ketua-ketua Hakim Syarie seluruh Malaysia, Jabatan Penjara, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau menambah mereka yang hadir semasa pelaksanaan hukuman sebatan juga tertakluk kepada SOP yang ditetapkan.

"Pelaksanaan sebatan syariah di masjid ini perlu ditekuni dengan mendalam kerana ia menitikberatkan prinsip keadilan, kasih sayang dan mendidik bukan semata-mata untuk menghukum.

"Proses pelaksanaannya juga mematuhi syarat-syarat yang digariskan oleh hukum Islam termasuk penggunaan alat sebatan yang ringan dan pelaksanaan tidak mencederakan fizikal dan ia berbeza dengan sebatan sivil yang dilihat lebih menyeksa pesalah," jelasnya.

Justeru, Muhammad Khalil berkata, kerajaan negeri turut menyeru kepada masyarakat supaya memahami maksud sebenar hukuman tersebut melalui program pendidikan dan penerangan yang akan dijalankan.

Beliau menyatakan sokongan rakyat dan semua pihak amat penting bagi memastikan pelaksanaan hukuman tersebut berjalan dengan harmoni tanpa sebarang salah faham yang boleh mencetuskan polemik.

"Pelaksanaan hukuman sebatan syariah itu merupakan langkah kecil tetapi signifikan ke arah merealisasikan sebuah pentadbiran yang memartabatkan keadilan Islam secara menyeluruh.

"Semoga usaha ini mendapat keredaan ALLAH dan menjadi titik tolak ke arah masyarakat yang lebih harmoni dan berdisiplin," ujarnya.

Pada Jumaat, seorang duda yang menjadi lelaki pertama dijatuhi hukuman enam sebatan depan khalayak ramai selesai menjalani hukuman tersebut di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini.

Mohd Affendi Awang, 42, yang juga seorang tukang rumah itu menjalani hukuman sebatan tersebut selepas mengaku bersalah atas dakwaan melakukan khalwat kali ketiga dengan wanita berbeza.

Prosedur sebatan sebanyak enam kali itu hanya mengambil masa selama dua minit.

Kes syariah yang mendapat liputan meluas daripada pelbagai pihak itu berjaya menarik perhatian lebih 100 orang yang berkumpul di luar untuk melihat bagaimana hukuman dijalankan.

Bagaimanapun hanya 90 orang terdiri daripada wakil kerajaan negeri, wakil setiap jabatan, wakil persatuan peguam dan wakil media yang dibenarkan melihat proses sebatan tersebut yang diadakan di Dewan A'asim di masjid berkenaan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu yang akan menjalani hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.

Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.