JEMPOL - Polis mengesahkan akan ada tangkapan lagi membabitkan pergaduhan dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini pihaknya sudah menahan lapan individu susulan kes tersebut berdasarkan video tular dan pengecaman individu terlibat.
Menurutnya, peringkat pertama pihak polis telah menahan dua orang manakala peringkat kedua enam orang, yang mana siasatan ini banyak bergantung kepada pengecaman orang dan gambar.
"Kita sekarang dalam proses untuk melengkapkan siasatan dan ada lagi beberapa orang akan cuba dikesan, kita ada rakaman yang jelas, Insya-ALLAH akan buat tangkapan.
"Jika ada gambar yang tidak dapat dicam kita akan buat siaran akhbar untuk meminta bantuan orang ramai mengesannya.
"Arahan saya tangkap semua, siapa ada dalam insiden itu dan yang mencetuskan (pergaduhan) tangkap semua. Kes ini tidak sepatutnya berlaku di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Sokongan Lelaki/Wanita Siri 1/2024 di Pusat Latihan Polis Air Hitam (Pulapol) di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dan Komandan Pulapol Air Hitam, Asisten Komisioner (ACP) Haslah Bachok.
Pada 21 Disember lalu, polis mengesan satu video tular memaparkan kejadian pergaduhan tersebut di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, laluan Ampang-Sri Petaling.
Insiden itu melibatkan antara 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif dengan bertumbuk, membaling tong sampah serta menendang pintu tren hingga mengakibatkan kerosakan yang menyebabkan pihak Prasarana Malaysia Berhad membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
Dalam pada itu, pihaknya akan meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar kawasan KLCC, Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan lain-lain tempat lagi bersempena dengan sambutan Tahun Baharu 2025.
"Persediaan ini sudah dibuat sebelum sambutan perayaan Krismas. Sudah tentu ramai yang akan datang ke ibu negara semperna Tahun Baharu 2025 mungkin sesak jadi kita minta orang ramai untuk mematuhi peraturan sedia ada," katanya.