MELAKA - Dua lelaki bertopeng merompak sebuah kedai emas di pusat beli -belah terkenal di Banda Hilir di sini pada petang Jumaat.
Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu tular apabila tindakan lelaki berkenaan memasuki premis di tingkat bawah bangunan itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Menerusi video berdurasi 1:21 saat itu memaparkan dua lelaki memakai topi, jaket hitam dan topeng muka masuk ke kedai berkenaan yang ketika itu dijaga dua pekerja wanita.
Suspek kemudian dipercayai menunjukkan senjata tajam untuk menakut-nakutkan pekerja dan meminta mereka menyerahkan barang kemas yang dipamerakan di kaunter, namun kedua-dua pekerja hanya mampu mundar-mandir dalam ketakutan.
Bagaimanapun, selang beberapa saat, seorang daripada suspek mencapai barang kemas berkenaan dari luar kaunter sebelum melompat memasuki kanter untuk melarikan lebih banyak barang kemas.
Mangsa yang ketakutan hanya mengelak daripada dicederakan sebelum kedua-dua suspek lari meninggalkan premis berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
"Kes bagaimanapun masih dalam siasatan," katanya ringkas.