Durian hibrid MDUR88 dijenamakan semula sebagai Mardi Super 88

Iklan
Mohamad (tengah) menunjukkan hasil durian yang ditanam di Taman Agroteknologi Mardi Kuala Kangsar sempena lawatan kerjanya pada Sabtu.

KUALA KANGSAR - Durian hibrid MDUR88 dijenamakan semula kepada Mardi Super 88 (MS88) sebagai usaha memperkenalkan durian premium Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu bakal membuka peluang komersial yang lebih luas bukan sahaja untuk pasaran domestik, tetapi global.

Iklan
Iklan

Menurutnya, varieti durian MS88 hasil penyelidikan dan inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) tersebut telah melalui kajian selama 15 tahun dan mempunyai rasa setanding durian premium lain seperti duri hitam (black thorn).

"Durian sekarang sudah jadi satu perdagangan besar yang boleh mencapai nilai bilion ringgit terutama pasaran antarabangsa.

Iklan

"Permintaan ketika ini cukup tinggi terutama dari China dan Mardi yang menjadi penyelidik utama telah mengeluarkan varieti-varieti baru untuk penghasilan durian yang lebih baik.

"Kita ada MDUR78, 79 dan 99. Hari ini kita diperkenalkan pula dengan MDUR88 yang dijenamakan semula sebagai Mardi Super 88 dan kualitinya setanding dengan durian premium lain," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Taman Agroteknologi Mardi Kuala Kangsar di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Mardi, Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Pengerusi Mardi, Dr Azman Ismail.

Mohamad berkata, setakat ini terdapat hampir 8,000 pokok durian varieti MS88 telah ditanam di seluruh negara dengan sebahagian besarnya oleh petani-petani kecil.

Katanya, jumlah itu dijangka boleh mencapai 10,000 pokok sekali gus membantu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri durian di peringkat antarabangsa.

"Walaupun ada persaingan dari Vietnam, Filipina dan Thailand, saya yakin durian Malaysia masih menjadi pilihan utama.

"Selain fokus pasaran durian ke China, kita juga memberi perhatian kepada produk hiliran durian seperti roti dan aiskrim yang ada potensi tinggi terutama di negara Eropah dan Asia Barat," katanya.

MS88 yang dihasilkan melalui teknik penghibridan bukan sahaja dikenali kerana rasa yang manis dan tekstur berkrim, tetapi tahap ketahanan terhadap penyakit yang setanding dengan varieti premium lain.