JEMPOL - Ibu kepada seorang anak tidak menyangka dipilih menerima Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan pada Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Sokongan Lelaki/Wanita Siri 1/2024 di Pusat Latihan Polis Air Hitam (Pulapol) di sini pada Sabtu.
Konstabel pelatih, Sheanna Freddyan, 27, berasal dari Keningau, Sabah berkata, dia bersyukur apabila usaha selama empat bulan menjalani latihan kepolisan di Pulapol tidak sia-sia termasuklah berkorban untuk berjauhan dengan suami dan anaknya.
"Saya memang minat menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), tambahan pula kebanyakan ahli keluarga saya merupakan anggota polis. Saya juga adalah wanita pertama dalam keluarga yang menjadi anggota polis.
"Saya berharap akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam pasukan termasuklah kepada masyarakat kerana ini adalah cita-cita saya selama ini," katanya ketika ditemui pemberita.
Seorang lagi Konstabel Pelatih, Restly Vancent Anak Mickeal Suka, 20, yang dianugerahkan sebagai pelatih Terbaik Latihan Luar (lelaki) mengakui kejayaan itu hasil daripada sokongan keluarga dan warga Pulapol di sini.
"Bapa saya hanya bekerja di ladang sawit ibu pula suri rumah dan saya mahu membanggakan mereka dalam usia sebegini.
"Saya mahu menjadi pegawai polis yang bertanggungjawab serta maju dalam kerjaya kepolisan," katanya.
Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel Sokongan Siri 1/2024 ini terdiri dari 698 pelatih lelaki dan 252 pelatih wanita menjadikan jumlah keseluruhan seramai 950 pelatih yang menjalani latihan selama empat bulan bermula 1 September lalu.
Hadir merasmikan program, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.
Turut sama, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dan Komandan Pulapol Air Hitam, Asisten Komisioner Haslah Bachok.
Sinar Harian difahamkan, jadual latihan PLAK ini berdasarkan kompetensi melalui tiga aspek utama merangkumi pembentukan sikap, kemampuan, kemahiran dan pengetahuan meliputi tiga modul utama iaitu Modul Transformasi Kepolisan, Modul Program Transformasi Minda dan Modul Pengurusan Kepolisan.