Berani cabar ketidakadilan, bukti kemampuan belia tolak rasuah

Iklan
Abdul Hakim

SHAH ALAM - Keberanian belia masa kini mencabar ketidakadilan dan berani mempersoalkan sistem tidak telus membuktikan golongan itu mampu menolak jenayah rasuah serta salah guna kuasa yang berleluasa.

Naib Pengerusi (Remaja) Gerakan Belia 4B (M) Wilayah Persekutuan, Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, perkara itu amat wajar kerana mereka merupakan ejen perubahan yang membawa harapan baharu kepada masyarakat.

Iklan
Iklan

"Generasi muda memiliki tenaga, semangat dan daya kreativiti yang mampu mengubah landskap sosial serta politik ke arah lebih baik.

"Belia hari ini adalah pemimpin esok. Jika mereka dididik dengan nilai ketelusan dan tanggungjawab, negara akan memiliki barisan kepimpinan yang bebas daripada pengaruh rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, generasi muda diseru untuk memikul amanah besar dalam memastikan Malaysia kekal maju dan bebas daripada belenggu rasuah.

Katanya, golongan muda, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai peranan penting sebagai ejen perubahan dalam membina masa depan negara berintegriti.

Iklan

Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, kenyataan oleh Azmi tersebut mengingatkan mengenai perjuangan menentang rasuah perlu bermula daripada setiap individu terutama dalam kalangan belia.

Jelasnya, untuk menerapkan semangat bencikan rasuah dalam diri golongan itu, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wajar meningkatkan peluang pendidikan serta latihan berkemahiran.

"Kerajaan boleh memperluaskan program pendidikan percuma atau subsidi untuk golongan B40, termasuk menawarkan lebih banyak latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).

"NGO juga boleh menganjurkan bengkel atau kursus yang membantu golongan muda menguasai kemahiran baharu, seperti teknologi digital, keusahawanan dan komunikasi,” ujarnya.

Menurut Abdul Hakim, pihaknya percaya jika ada kerjasama yang erat antara semua pihak, pelaburan dalam pembangunan generasi muda boleh menjadi kunci kepada kemakmuran negara sekali gus menghapuskan sepenuhnya jenayah rasuah.