Jasa berpanjangan Tun Daim di Aceh

Iklan
Tun Daim

SHAH ALAM - Kepulangan negarawan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin ke negeri abadi pada 13 November lalu bukan sahaja meninggalkan kesan di hati masyarakat, malah jasa dan amal jariah yang dilakukan secara senyap lebih-lebih lagi dalam membiayai pembangunan serta pendidikan di Aceh, Indonesia kembali menjadi bualan ramai.

Bekas wartawan terkenal, Syahril A Kadir berkata, beliau pada mulanya mahu menerbitkan dokumentari khas bagi mengenang peristiwa Tsunami yang membadai Aceh 20 tahun lalu, namun tidak menyangka penemuan pasukannya di lokasi tersebut terarah kepada satu bangunan pesantren tertera nama Allahyarham Daim.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, segala informasi berhubung perkara tersebut disiarkan secara eksklusif di platform Youtube Tanah Berdaulat TV berjudul 'Mengenang Daim'.

Tangkap layar podcast 'Mengenang Daim' yang disiarkan secara eksklusif di platform Youtube Tanah Berdaulat TV pada Isnin lalu.

"Saya hantar tiga orang untuk buat liputan mengenang 20 tahun Tsunami di Aceh sekitar dua minggu lepas kerana saya antara wartawan terawal yang sampai di sana ketika berkhidmat di Utusan Malaysia dahulu.

Iklan

"Sewaktu kejadian berlaku saya tinggal di sana selama sebulan. Jadi, disebabkan nak mengenang kembali memori lama, saya suruh budak praktikal ke sana kerana masa peristiwa berlaku dia baru berusia dua tahun. Saya tak pergi sebab nak dia rasai pengalaman sama yang pernah saya lalui.

"Selain itu, saya nak dia lapor tentang pembangunan semula Aceh. Ketika pasukan merakam lokasi-lokasi di sana, mereka terjumpa satu pesantren tertera nama Daim dan terus hubungi saya di Kuala Lumpur untuk maklumkan perkara terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Sebaik menerima perkhabaran itu, Syahril memberitahu, beliau terus menghubungi tokoh wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin untuk mendapatkan maklumat lanjut memandangkan individu terbabit bersahabat baik kepada bekas Menteri Kewangan negara terbabit.

Tangkap layar video dimuat naik Tanah Berdaulat TV di Youtube pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, arwah difahamkan kurang gemar bercerita mengenai aktiviti kebajikan kepada orang ramai, bahkan turut meminta sahabat terdekat untuk merahsiakan segala bentuk sumbangannya.

"Beliau (A Kadir) tak tahu sangat, tetapi kemudian beliau beri saya nombor telefon ustaz yang mengajar dan menjaga sekolah di situ.

"Daripada dialah saya dapat maklumat, jadi pasukan saya buat satu episod khas tentang jasa Daim di Aceh," ujarnya.

Syahril yang pernah memegang jawatan Ketua Wartawan Meja Jenayah dan Laporan Khas Sinar Harian memaklumkan, jasa Daim bukan setakat di Aceh sahaja, tetapi di luar negara juga.

"Saya pernah buat liputan berita di Tanzania, Afrika Selatan kira-kira 20 tahun lalu. Jadi, saya ada masuk satu bank dan ternampak gambar Daim di dalamnya. Saya buat-buat tanyalah pegawai bank di situ sebab tak tahu apa kaitan arwah dengan bank ini.

"Pegawai itu kata 'inilah Mr Zainuddin', pemilik bank. Saya terkejutlah, rupa-rupanya beliau ada berpuluh-puluh bank di Afrika. Apabila pulang ke Kuala Lumpur, saya sempat tanya sendiri kepadanya, memang betul beliau mengaku itu kepunyaannya.

"Ramai tak tahu, Daim dah ada bank sebelum jadi ahli politik, memang dah kaya-raya cuma selepas dilantik jadi Menteri Kewangan sebanyak dua kali, arwah terpaksa jual kesemuanya," jelas Syahril lagi.