Sultan Pahang lancar Pasukan Keselamatan Kebakaran Istana

Iklan
Al-Sultan Abdullah (tengah) berkenan melancarkan Majlis Pelancaran PKKI Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota pada Sabtu.

KUANTAN - Pasukan Keselamatan Kebakaran Istana (PKKI) Pahang ditubuhkan sebagai langkah untuk melindungi keselamatan istana dan memastikan kelestarian warisan bersejarah dipelihara dengan baik.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ts Nor Hisham Mohammad berkata, PKKI berperanan sebagai pasukan tindak balas awal untuk menangani insiden kecemasan di istana sebelum bantuan bomba tiba.

Iklan
Iklan
Nor Hisham

Menurutnya, penubuhan PKKI adalah idea Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan ia amat penting kerana institusi diraja, terutama istana menyimpan pelbagai bahan bersejarah.

"Kebanyakan istana menyimpan barang-barang bersejarah dan ia menjadi pemilikan di istana yang mana apabila berlaku kebakaran (khazanah ini) tidak dapat diganti.

Iklan

"Kita hilang nilai sejarah, (contohnya) kalau saya ambil mudah (seperti) lukisan-lukisan tuanku (Sultan) yang terdahulu, susur galur atau hierarki keturunan, semua itu tiada di tempat lain, memang simpan di dalam istana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran PKKI Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota di sini pada Sabtu.

Iklan
Al-Sultan Abdullah (tengah) berkenaan melihat jaket keselamatan pada Majlis Pelancaran PKKI Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota pada Sabtu.

Majlis pelancaran PPKI telah disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah.

Ketibaan baginda disambut Nor Hisham, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob dan Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir Ts Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Seramai 48 kakitangan Istana Negeri Pahang dilantik menjadi ahli PKKI dengan mendapat modul latihan asas kebombaan daripada JBPM Pahang.

Nor Hisham berkata, mereka menerima latihan intensif daripada JBPM, termasuk kemahiran dalam pengendalian kebakaran, rawatan asas pernafasan, pengurusan mangsa kecemasan dan pengendalian binatang liar.

Jelasnya, pendedahan itu diberikan bagi membolehkan tindakan segera diambil, sekali gus membantu mengurangkan kerugian jika berlaku kebakaran.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda turut menzahirkan penghargaan kepada pihak bomba kerana sentiasa bersedia membantu masyarakat dalam setiap tragedi mahupun permasalahan yang memerlukan khidmat bakti mereka.

Baginda juga berharap agar penubuhan PKKI itu dapat melatih kakitangan dan keluarga di istana untuk turut bersedia menghadapi sebarang tragedi dan juga membantu orang lain yang memerlukan.

Pada majlis berkenaan, Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan pelancaran Plak Menghapus Bahaya sebelum menyaksikan demonstrasi yang diadakan oleh PKKI dengan kerjasama pasukan bomba.