CHONGQING - Seorang wanita China bertindak meludah butang lif di bandar Chongqing yang dikhuatiri mampu menyebarkan wabak koronavirus (Covid-19).
Tindakan tersebut berjaya direkodkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan wanita tersebut berulang kali meludah ke butang lif berkenaan.
Video yang kini tular di media sosial itu kemudian memperlihatkan beberapa penduduk lain masuk untuk menggunakan lif yang sama dan menekan butang yang telah diludah wanita tersebut sebelum itu, lapor Daily Mail
Suspek wanita berusia 48 tahun yang hanya dikenali sebagai Li dilihat sengaja meludah ke butang lif itu atas alasan ingin meluahkan amarah selepas bergaduh dengan seorang penduduk di situ.
Dalam pada itu, polis dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa suspek telah ditahan dan hasil siasatan mendapati dia tidak mengalami jangkitan koronavirus.
"Hasil siasatan, kita telah mengesahkan bahawa wanita itu sihat secara fizikal dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan warga Hubei," katanya.
Perbuatan tidak bertamadun itu bukan sahaja dilakukan oleh Li, malah terdapat seorang lelaki di Nanning dirakam meludah pada tisu dan kemudian menggosok tisu berkenaan berulang kali pada butang lif, kini tular di media sosial.
Walau bagaimanapun, menurut sumber, polis tempatan telah pun menahan individu itu selama 10 hari dan mendapati dia tidak mengalami sebarang simptom Covid-19.
Selain dua video tular itu, beberapa video lain turut dikongsi di media sosial memperlihatkan tindakan tidak bertamadun oleh individu berbeza di China.