KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Anak lelaki bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Ketua Bahagian UMNO Langkawi, Datuk Nazifuddin Najib mengakui berasa sedih apabila bapanya belum dipulangkan kepada keluarga.
Pengakuan tersebut dilakukan Nazifuddin semasa program #DemiNajib2.0 yang terpaksa dilaksanakan disebabkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu masih belum bersama keluarga dan penyokongnya.
"Sudah dua tahun empat bulan Najib dalam penjara, tetapi masih ramai penyokong beliau berada di sini.
"Perkara ini tak boleh dibeli sebab ia datang dari hati. Tetapi, apa yang saya sedih adalah Najib belum dipulangkan kepada keluarga,” katanya dalam program #DemiNajib2.0 di Pusat Konvensional Melawati di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Najib; Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong; Presiden Parti Makkal Sakti, Datuk Seri R.S Thanethiran; Peguam, Kamarudin Ahmad dan aktivis politik, Zamil Ibrahim.
Mengulas lanjut, Nazifuddin turut mempersoalkan kenyataan Jabatan Peguam Negara (ACG) dikeluarkan pada Sabtu berhubung proses pengampunan dan pengurangan hukuman yang perlu dilakukan Lembaga Pengampunan untuk bapanya.
Nazifuddin merupakan anak kedua Najib berasa pelik dan hairan kenapa surat itu tidak dikeluarkan lebih awal.
"Kenapa surat nak keluar hari ini (Sabtu)? Kalau betul arahan Peguam Negara kata macam itu, kenapa tidak keluar sembilan bulan lalu?
"Kenapa bila nak ada perhimpunan 6 Januari ini, tiba-tiba keluar surat.
"Tuan-tuan, lihatlah apa agenda sebenarnya kerajaan tengah buat, berapa lama lagi ketidakadilan (berlaku) kepada Najib? Ini kalau drama Korea siri dia akan berulang-ulang, tidak akan habis,” ujarnya.