Tarif elektrik: FOMCA kemuka 7 syor

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu berhubung tarif elektrik.

SHAH ALAM - Terdapat tujuh cadangan yang perlu diteliti dalam penyediaan jadual kadar tarif elektrik baharu menjelang Julai 2025 untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan sebarang perubahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah berkata, perkara pertama, ia wajar dilakukan secara bersasar untuk melindungi golongan rentan.

Iklan
Iklan
Saravanan

"Jadual tarif baharu itu perlu ambil kira golongan rentan dan melindungi B40 serta M40 dan memberikan rebat khas atau kadar subsidi kepada golongan itu agar mereka tidak terjejas.

"Kedua, perkenal penggunaan tarif mengikut masa iaitu pengguna akan dikenakan kadar lebih rendah jika mereka guna tenaga pada waktu luar puncak manakala kadar lebih tinggi pada waktu puncak.

Iklan

"Pendekatan ini akan menggalakkan penggunaan tenaga secara bijak, mengurangkan beban pada sistem grid dan memberi peluang kepada pengguna untuk menjimatkan kos,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sebelum ini, dilaporkan 85 peratus pemegang akaun domestik iaitu sekitar 7.5 juta orang tidak akan terjejas dengan sebarang perubahan kadar tarif elektrik dan masih dilindungi kerajaan sehingga Jun 2025.

Iklan

Ketua Pegawai Kewangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Nazmi Othman berkata, kadar tarif semasa yang sudah diguna pakai sejak 2014 tidak akan memberi kesan signifikan kepada golongan rentan itu.

Bagaimanapun menurutnya, kerajaan sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu dan kos pembekalan elektrik sebenar yang lebih kompetitif menjelang Julai 2025.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, tarif baharu juga perlu berlandaskan prinsip keadilan untuk memastikan struktur harga mengambil kira kos sebenar penyediaan tenaga serta kemampuan pengguna.

"Ia perlu mengelakkan subsidi berlebihan kepada kumpulan yang mampu bayar kadar penuh dan memastikan bantuan difokuskan kepada mereka memerlukan.

"Selain itu, kerajaan dan penyedia perkhidmatan mesti telus mengenai faktor yang menyebabkan kenaikan tarif seperti kos bahan api atau penyelenggaraan infrastruktur untuk membantu rakyat memahami rasional di sebalik keputusan tersebut.

"Cadangan lain jadual tarif baharu boleh merangkumi insentif bagi pengguna yang mengamalkan kecekapan tenaga seperti penggunaan peralatan cekap tenaga atau kurangkan penggunaan semasa waktu puncak,” ujarnya.

Tambah Saravanan, sebarang perubahan tarif perlu mempertimbangkan kesan terhadap industri kecil dan sederhana (IKS) kerana ia tulang belakang ekonomi negara yang membawa peningkatan kos barangan asas jika tidak ditangani dengan baik.

Beliau berkata, sebelum menetapkan jadual tarif baharu, penting untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk badan pengguna, industri dan rakyat supaya keputusan yang dibuat adil serta menyeluruh.

"FOMCA berpandangan bahawa kadar tarif semasa yang hanya kekal sehingga Jun 2025 memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat dalam jangka pendek tetapi ketidaktentuan selepas tempoh tersebut menimbulkan kebimbangan rakyat.

"Jika subsidi RON95 ditarik balik serentak kenaikan tarif elektrik, rakyat akan hadapi tekanan kos sara hidup meningkat. Mereka perlukan jaminan dan ketelusan dalam perancangan jangka panjang supaya boleh rancang kewangan dengan baik,” ulasnya.