Sharifah Husna jaga nama

Iklan
Tidak menjual rupa paras semata-mata, Sharifah Husna tetap mengutamakan mutu lakonan yang baik.

CANTIK, bijak dan berbakat besar. Tiga patah perkataan itu sudah cukup untuk menggambarkan pemilik nama Sharifah Husna Syed Faisal ini.

Masakan tidak, dalam pada mengintai peluang dan ruang melukis bakat di persada seni, wanita berdarah kacukan Melayu, Pakistan, Afghanistan, Arab, British, Portugis, Belanda dan Indonesia itu merupakan siswazah dari Royal College of Surgeons Ireland di Serdang.

Iklan
Iklan

Walaupun mempunyai segulung ijazah yang melayakkan beliau menjadi doktor, namun cinta mendalam terhadap dunia seni membuatkan selebriti berusia 31 tahun itu nekad untuk menjadi pelakon.

Tidak pernah sesal melupakan dunia perubatan, akui Sharifah Husna, tawaran lakonan yang diterima sentiasa menjadi khabar gembira buatnya.

Iklan
Beruntung mempunyai suami yang bekerja dalam lapangan sama, Sharifah Husna memberitahu Halim Radzi sentiasa memahami kerjayanya.

Malah kerana minat dan cinta terhadap dunia seni, isteri kepada pelakon Halim Radzi itu tidak pernah ambil pusing soal populariti.

"Bagi saya, keutamaan dalam bidang ini adalah menjayakan sesuatu watak itu. Bila dapat tawaran lakonan pun sudah buatkan saya gembira, kerana lakonan itu adalah minat saya.

Iklan

"Setakat ini bila keluar masih ada yang senyum dan menegur. Dikenali atau tidak, ia lebih kepada rezeki," katanya kepada SinarPlus selepas majlis pelancaran drama Berbahagi Suami baru-baru ini.

Atas sebab itu juga, anak jati Subang Jaya, Selangor tersebut sangat menjaga nama dan imejnya agar tidak terpalit dengan kisah kontroversi.

Bukan itu sahaja, Sharifah Husna menegaskan, beliau sama sekali tidak bersandar rupa paras semata-mata dan mengutamakan mutu lakonan.

"Walaupun awak cantik, pada akhirnya yang penonton lihat adalah adakah seseorang pelakon itu boleh berlakon dan perkara itu sering membuatkan saya rasa takut dan bimbang.

"Penonton sekarang semakin bijak menilai. Saya tak mahu dilabel pelakon yang bersandarkan rupa paras semata-mata.

"Bidang yang saya ceburi pun adalah lakonan, bukan pertandingan ratu cantik. Yang diketengahkan adalah bakat lakonan, dalam keadaan apa sekalipun, lakonan itu perlu diasah,” ujarnya.

Tidak pernah mengambil kesempatan dengan menjual rupa paras, Sharifah Husna berkata, beliau masih meluangkan masa menghadiri kelas lakonan bersama pelakon berkaliber seperti Datuk Fauziah Nawi, Nabila Huda dan Zulhuzaimy.

Malah dalam masa sama, bintang utama Jack Yusof itu berasa cukup bertuah kerana berpeluang berlakon dengan nama-nama besar dan berpengalaman.

"Dalam apa bidang yang diceburi pun, kita tidak boleh berhenti belajar. Demi memastikan dapat memperbaiki mutu lakonan, saya tidak kisah keluarkan duit poket mengikuti kelas lakonan.

"Bila di set pun saya masih ambil kesempatan untuk belajar dengan pelakon senior dan alhamdulillah mereka tidak lokek untuk mengajar,” jelasnya lagi.

Lebar sayap

Berkongsi perkembangan seninya, Sharifah Husna berkata, selain drama siri Berbahagi Suami yang masih ditayangkan di saluran Astro Ria, beliau juga sedang menanti tarikh tayangan filem pertamanya bersama produksi Indonesia.

Sharifah Husna berbesar hati kerana dapat bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Amar Baharin dan Siti Elizad dalam drama Berbahagi Suami.

Ujar anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu, beliau sudah mempunyai beberapa tawaran kerja untuk tahun 2025, namun masih belum dapat berkongsi butiran lanjutnya.

"Setakat ini tiada perancangan untuk memberi fokus kepada tawaran di Indonesia, kerana apa pun semuanya berbalik di mana saya berasal dan karier saya bermula.

"Apa yang pasti, saya sudah bersedia untuk membahagikan masa sebaiknya sekiranya ada tawaran di Indonesia selepas ini," tuturnya lembut.

Sebelum mengakhiri perbualan, ditanya harapannya untuk tahun 2025 yang akan bermula dua hari sahaja lagi, Sharifah Husna berkata, selain mengharapkan karier seni yang lebih baik, beliau juga mahu negara yang dicintainya ini berkembang lebih baik.

"Banyak peristiwa pahit yang berlaku tahun ini seperti banjir, tragedi tanah jerlus, mata wang negara yang turun naik. Jadi saya harap tahun 2025 ini membawa sinar yang lebih baik pada Malaysia dan semua orang,” ujarnya.