Haniff Khatri persoal jika ada permohonan terkini tidak ikut saluran betul

Iklan
Haniff Khatri mendakwa, kenyataan dikeluarkan AGC mengenai permohonan baharu sekiranya Najib ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah menimbulkan kekeliruan rakyat.

SHAH ALAM - Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mempersoalkan kemungkinan terdapat permohonan terkini berhubung kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak mengikut saluran betul.

Beliau mendakwa, kenyataan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai permohonan baharu sekiranya Najib ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah menimbulkan kekeliruan rakyat.

Iklan
Iklan

"Ini sememangnya peruntukan undang-undang tapi persoalannya, adakah kenyataan ini dikeluarkan oleh AGC kerana terdapat mana-mana permohonan terkini yang dibuat oleh atau bagi pihak Najib kerana ia dinyatakan secara khusus kepada penama Najib.

"Kalau ada, siapa yang buat permohonan tersebut dan apa saluran digunakan? Kenyataan AGC perlu diperjelaskan dan bukannya timbulkan lebih banyak persoalan.

Iklan

"Sekiranya tiada apa-apa permohonan lanjutan, rakyat berhak mengambil maklum bahawa kenyataan berkenaan sebenarnya adalah berkait dengan Titah Adendum,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mohamed Haniff berkata, sekiranya tiada permohonan pengampunan lanjut yang dibuat Najib baru-baru ini, dibimbangi ia adalah campur tangan dalam isu Titah Adendum yang akan menjadi pertikaian di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari depan.

Iklan

"Rakyat maklum bahawa isu Titah Adendum ini berada di medan mahkamah dan dijadualkan bersidang di mahkamah lebih kurang seminggu sahaja lagi. AGC terlibat dengan perbicaraan itu.

"Kenyataan ini boleh mendedahkan AGC kepada tindakan penghinaan mahkamah. Saya harap AGC boleh keluarkan kenyataan lengkap dan jelas berkaitan perkara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, sesiapa sahaja mahupun pihak yang berminat dengan isu tersebut boleh mengemukakan permohonan rayuan berkenaan.

"Sebenarnya tiada masalah mahu kemukakan rayuan, ini undang-undang biasa. Peguam, ahli keluarga atau mana-mana pihak berminat boleh hantar surat rayuan.

"Kemudian, Lembaga Pengampunan atas titah Tuanku boleh minta penjelasan langsung mengenai diri dan kaitan dengan pihak rayuan. Ini semua urusan Lembaga Pengampunan, tiada undang-undang khusus,” ulasnya.