KOTA BHARU - Pengusaha premis makanan dan minuman di Kelantan menyambut baik keputusan kerajaan negeri mewajibkan mereka memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.
Peniaga makanan, Hidayati Mohd Amran, 49, berkata, langkah menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut amat wajar kerana dapat menjaga kebersihan dan kesucian serta status makanan yang disajikan kepada pelanggan.
"Sekarang ini ramai ambil kesempatan, lebih-lebih lagi apabila tular, hingga mengabaikan aspek halal pada makanan.
"Tindakan kerajaan negeri ini sangat baik kerana dapat menjaga etika dalam kalangan peniaga supaya memastikan makanan yang dijual kepada pelanggan adalah halal termasuk sumber makanan itu sendiri,” katanya kepada Sinar Ahad.
Hidayati yang sudah 30 tahun berkecimpung dalam perniagaan makanan memberitahu, sebagai peniaga, dia juga akan mematuhi apa sahaja syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa.
"Perniagaan makanan ini adalah sumber pendapatan saya. Sebagai rakyat di negeri ini, saya perlu patuh kepada undang-undang untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan berniaga,” katanya.
Sementara itu, Mohd Rozi Abd Rahim, 52, yang juga berniaga makanan mempunyai pendapat sama dan bersetuju dengan keputusan dibuat oleh kerajaan negeri itu.
Mohd Rozi bagaimanapun mencadangkan supaya pelaksanaan syarat tersebut dibuat secara berperingkat dan tidak terlalu memberikan tekanan kepada peniaga.
"Syarat supaya setiap premis makanan ada sijil halal ini sangat bagus kerana dapat memberi pengesahan dan menambah keyakinan pelanggan untuk makan di premis kami.
"Cuma perlu dibuat secara perlahan-lahan dan tidak menyekat peniaga untuk menyambung lesen jika gagal dapat sijil halal pada peringkat awal,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Wan Azizi Wan Ab Ghani, 59, pula berkata, prosedur dan proses untuk memiliki SPHM bagi premis makanan itu juga perlu dipermudahkan kepada pengusaha makanan.
"Selepas diberikan sijil halal, pihak berkuasa berkaitan juga perlu melakukan pemantauan secara berkala bagi memastikan makanan dijual, terus halal.
"Peniaga atau pengguna pula perlu bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan menyalahgunakan sijil halal jika proses untuk mendapatkan sijil itu dipermudahkan,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, kerajaan negeri Kelantan di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam mensyaratkan SPHM di premis makanan untuk memperbaharui lesen perniagaan.
Pelaksanaan berkenaan akan diperluaskan kepada PBT lain di negeri ini.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam kenyataannya pada Jumaat berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh mengenakan syarat wajib atau paksaan kepada peniaga makanan dan minuman untuk mendapatkan sijil halal.
Katanya, tindakan sedemikian dianggap mengatasi bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berperanan penting dalam isu berkenaan.
"Jemaah Menteri sudah membuat keputusan di mana kerajaan menggalakkan kepada pengusaha untuk memohon sijil halal, bukan mewajibkan. Itu saya tegaskan, tidak boleh paksa. Kita hanya menggalakkan.
"Jadi PBT kena hormati itu dan tidak melakukan apa-apa bercanggah dengan keputusan jemaah menteri sebagai badan eksekutif tertinggi dalam negara,” katanya.
Kor Ming berkata, cadangan mewajibkan pengusaha makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.
Katanya, sebagai contoh warung menjual nasi lemak dan pisang goreng yang terpaksa mengeluarkan kos tambahan hanya bagi memenuhi syarat memperbaharui lesen perniagaannya.
"Kos sijil halal pun beribu-ribu ringgit, selepas itu untuk perbaharui sijil halal ia juga tertakluk kepada audit tahunan dan proses ini juga dikenakan bayaran.
"Lagipun negara kita berbilang kaum, perlu juga ambil kira keperluan pengusaha bukan Melayu yang menjual makanan tidak halal,” katanya.