STATISTIK terbaharu menunjukkan peningkatan ketara dalam kadar pembuangan bayi di negara ini sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan pihak berkuasa.
Ia berikutan Yayasan OrphanCare telah menyelamatkan 639 bayi yang lahir tanpa dirancang sepanjang 16 tahun penubuhannya sejak 2008.
Tahun ini pula merekodkan jumlah tertinggi dengan 81 kes bayi diselamatkan melalui inisiatif Baby Hatch, setakat November 2024.
Jadi, peningkatan kadar bayi diselamatkan itu mungkin disebabkan beberapa faktor termasuk masalah sosial dan ekonomi yang semakin mencabar.
Kebanyakan ibu yang meninggalkan bayi datang daripada golongan kurang berkemampuan atau terdesak.
Meskipun bayi yang diselamatkan berada dengan pihak yang boleh dipercayai, namun perkara ini wajar diperbetulkan supaya tiada lagi kanak-kanak tanpa ibu bapa pada masa akan datang.
Selain itu, penyalahgunaan bahan dan ketidaktahuan mengenai perancangan keluarga turut menyumbang kepada peningkatan bayi diselamatkan tersebut.
Ia sering berlaku akibat kehamilan luar nikah yang mengundang stigma sosial berat terutama remaja dan golongan muda.
Bagi mengurangkan kes tersebut, pihak berkuasa juga perlu giat memperkenalkan program pendidikan seksual yang lebih menyeluruh, terutama dalam kalangan remaja.
Ia bertujuan untuk memberi maklumat yang lebih baik mengenai kesihatan reproduktif, pencegahan kehamilan luar nikah dan kaedah menangani kehamilan yang tidak dirancang.
Masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran dan mendidik golongan muda tentang pentingnya tanggungjawab terhadap kehidupan.
Justeru, kerajaan perlu mempergiatkan usaha untuk menyediakan sokongan yang lebih baik bagi ibu-ibu yang menghadapi kesulitan agar mereka tidak terpaksa membuat keputusan yang melibatkan pengorbanan nyawa bayi yang tidak bersalah.