GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United dijangka menamatkan saingan teratas England tersebut pada kedudukan terburuk musim ini.
The Red Devils sebelum ini menamatkan kempen 2023-24 di tangga kelapan di bawah kendalian Erik ten Hag, kedudukan terakhir paling rendah sejak pembentukan liga pada 1992-93.
Kekalahan Boxing Day 0-2, United kepada Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux memanjangkan lagi kesengsaraan kelab bimbingan Ruben Amorim itu apabila Opta memberikan penilaian untuk baki musim ini.
Penilaian Opta tidak begitu menarik untuk United apabila percaya Red Devils berkemungkinan besar akan menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.
Menurutnya lagi, anak buah Amorim berkemungkinan berada di tangga kesembilan (9.6 peratus) atau ke-14 (9.7 peratus) selepas 38 perlawanan.
Malah paling membimbangkan apabila United yang sedang mengharungi kemerosotan prestasi itu mempunyai peluang yang lebih besar untuk diturunkan - 0.1 peratus menamatkan saingan di tempat ke-18.
Sebagai rekod, United kini menduduki tangga ke-14 liga dengan 22 mata daripada 18 perlawanan EPL - dengan enam kemenangan, empat seri, lapan kekalahan.
United sebelum itu disingkirkan Tottenham Hotspur daripada Piala Liga sebelum diaibkan Bournemouth 0-3 di Stadium Old Trafford diikuti kekalahan mengejut 0-2 kepada Wolverhampton yang juga bergelut masalah prestasi.
Peluang untuk menewaskan Wolves juga tidak dibantu Bruno Fernandes yang dibuang padang buat kali ketiga musim ini sekali gus mencetuskan cemuhan dalam kalangan penyokong serta kemarahan peminat dalam talian.
Anak buah Amorim kini hanya lapan mata di depan Leicester dalam zon penyingkiran - dan 20 mata di belakang pendahulu Liverpool.
Sementara itu, Liverpool dinilai sebagai pilihan untuk mengekalkan pendahulu liga dengan 88.0 peratus untuk menduduki tangga teratas pada penghujung musim - dengan Arsenal (10.3 peratus), Chelsea (1.5 peratus) dan Manchester City (0.3 peratus) untuk kelompok empat teratas.
Penilaian untuk Southampton, Ipswich Town dan Leicester City pula dijangka kekal berada dalam kelompok terbawah liga.