KUANTAN - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir melanda tiga daerah di Pahang iaitu Kuantan, Pekan, dan Rompin susulan amaran hujan berterusan tahap waspada bermula hari ini sehingga Isnin.
Menurut hebahan yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), hujan signifikan dijangka menyebabkan limpahan di beberapa lembangan sungai utama, termasuk Sungai Pahang, Sungai Kuantan, dan Sungai Rompin.
"Lembangan Sungai Pahang meliputi Sungai Lepar, Alur Sungai Belat, Parit Chendering, Parit Jawa, Parit Rangin, Sungai Galing, Sungai Jelai, Sungai Kenau, Sungai Lepar, Sungai Penor, Sungai Pinang, Sungai Soi dan Sungai Terus.
Sementara itu, daerah Pekan, kenaikan paras sungai dijangka berlaku di Sungai Air Tawar, Sungai Anak Tasek, Sungai Cheroh, Sungai Dong, Sungai Kenong, Sungai Kerdau, Sungai Lipis, Sungai Mentiga dan Sungai Semantan yang mana ia berada dalam Lembangan Sungai Pahang.
Di Rompin pula, peningkatan dijangka membabitkan Sungai Pontian, Sungai Sekin, Sungai Gayung, Sungai Aur, Sungai Jeram, Sungai Kepasing, Sungai Jekatih dan Sungai Pukin iaitu Lembangan Sungai Rompin.
Selain Sungai Rompin, banjir turut dijangka akibat limpahan Lembangan Sungai Endau, Lembangan Sungai Pontian (Sungai Cemara) dan Lembangan Sungai Keratong.
Sehubungan itu, JPS menegaskan pemantauan rapi akan diteruskan dan maklumat terkini akan disalurkan jika hujan signifikan terus berlaku di lembangan sungai berkenaan
Penduduk diminta memantau keadaan sekitar dan mengikuti arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah.
"Banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh yang diramalkan, bergantung kepada intensiti hujan di kawasan lembangan sungai tersebut,” jelas Kenyataan itu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: PubliclnfoBanjir.
Pada Sabtu,Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di empat negeri bermula hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan keadaan cuaca itu diramalkan melanda timur dan barat Sabah bermula Sabtu sehingga 30 Disember manakala Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula dari Ahad sehingga 31 Disember ini.