KUALA KUBU BHARU - Kerja-kerja menambak tanah tanpa kebenaran hingga mengganggu sistem pengaliran air di Kampung Air Panas, Kerling di sini dikenal pasti sebagai punca banjir kilat berlaku di kawasan berkenaan.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, beliau dimaklumkan notis pemberhentian kerja telah dikeluarkan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi mengelak banjir kilat itu berulang.
"Saya telah turun ke lawatan tapak untuk melawat Kampung Air Panas, Kerling di Kuala Kubu Bharu yang terjejas akibat banjir kilat baru-baru ini.
"Saya bersama Yang Dipertua MPHS, Puan Julaiha Jamaludin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao.
"Kami dimaklumkan punca banjir kilat ini adalah kerana kerja tanah tanpa kelulusan di atas tapak. Notis berhenti kerja telah dikeluarkan MPHS bagi membendung masalah ini berlaku lagi," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi DAP Selangor berkata demikian dalam satu kenyataan susulan lawatannya ke Kampung Air Panas, Kerling yang dikongsi di laman Facebooknya pada Ahad.
Beliau menambah, MPHS juga telah mengeluarkan arahan terhadap pemilik tanah terbabit untuk membina kolam tadahan banjir dan longkang baru bagi mengatasi masalah banjir kilat itu.
Pada 25 Disember, Julaiha bersama Ahli Majlis Zon 6, Law Suet Peng, serta wakil Jabatan Kejuruteraan MPHS mengadakan lawatan kerja ke Kampung Air Panas, Kerling yang terjejas akibat banjir kilat.
Jelasnya, lawatan ini bertujuan menilai situasi dan mengenal pasti penyelesaian segera dan jangka panjang bagi memastikan insiden banjir kilat dapat ditangani dengan lebih berkesan serta dielakkan daripada berulang.
"Kerjasama erat antara pihak berkuasa dan masyarakat setempat amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan tindakan mitigasi dapat dijalankan dengan jayanya," ujarnya.
Terdahulu, banjir kilat dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Kampung Air Panas, Kerling susulan hujan lebat yang berterusan selama dua jam di kawasan kampung berkenaan pada 24 Disember lalu.