Hukuman sebat secara terbuka perlu perbincangan mendalam - Mufti

Iklan
Mohd Sukki

GEORGE TOWN - Hukum melaksanakan hukuman sebat secara terbuka adalah satu isu yang memerlukan perbincangan mendalam terutamanya apabila ia dikaitkan dengan hak asasi manusia, Maqasid Syariah dan konteks masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, dalam Islam, hukuman seperti sebat secara terbuka mempunyai beberapa tujuan berdasarkan Maqasid Syariah antaranya menegakkan keadilan iaitu hukuman dijalankan untuk memastikan keadilan kepada mangsa, pelaku dan masyarakat.

Iklan
Iklan

"Antara tujuan lain adalah mencegah jenayah iaitu hukuman terbuka yang bertindak sebagai pengajaran kepada masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.

"Selain itu, hukuman itu juga perlu mempunyai tujuan pemulihan iaitu hukuman juga bertujuan memperbaiki pelaku, bukan semata-mata menghukum," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Bagaimanapun tambahnya, pelaksanaan hukuman itu juga perlu mempertimbangkan Rahmah (belas kasihan) yang menjadi asas ajaran Islam.

"Contohnya, kaedah sebat dalam Islam tidak boleh melukakan, mencederakan teruk atau bertujuan menyeksa.

Iklan

"Sebatan yang dilakukan adalah berbeza dengan pendekatan hukuman dalam sistem sivil," ujarnya.

Mohd Sukki berkata, daripada perspektif hak asasi individu, sebatan secara terbuka mungkin dilihat mencabul hak asasi individu sekiranya ia menjatuhkan maruah pelaku secara berlebihan atau tidak mengambil kira hak pelaku untuk dilindungi daripada penderaan fizikal dan mental.

"Namun, dalam kerangka syariah, hak individu sentiasa diseimbangkan dengan hak masyarakat secara keseluruhan.

"Sebagai contoh, jika hukuman itu bertujuan melindungi masyarakat daripada jenayah, maka ia dianggap sah dan diperlukan," jelasnya.

Jelas Mohd Sukki lagi, secara prinsip syariah, sebatan secara terbuka boleh dianggap selari dengan prinsip syariah namun ia mesti dijalankan dengan penuh hikmah.

"Dalam konteks Malaysia, pelaksanaannya perlu dilakukan secara berhati-hati dengan penekanan kepada pendidikan dan penerangan terlebih dahulu.

"Selain itu, ia perlu dilaksanakan secara harmoni dan keseimbangan dengan pendekatan Islam adalah bersifat dinamik dan kontekstual.

"Maka sebarang bentuk pelaksanaan hukum mesti mempertimbangkan maslahat dalam masyarakat," katanya.

Sebelum ini dilaporkan, tukang rumah, Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama dihukum dengan enam sebatan di khalayak ramai di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat.

Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 November lalu setelah lelaki terbabit mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Sebelum itu, dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023.