ALOR SETAR - Lebih 40 peserta daripada pasukan TTG dan Sinar Harian akan berkayuh sejauh 15 kilometer sambil menziarahi asnaf bagi memeriahkan Jelajah Sinar Untuk Rakyat di Perlis pada 4 Januari ini.
Yang Dipertua (YDP) TTG, Ashidan Mat Isa berkata, kayuhan itu bermula di Masjid Jamek, Beseri pada jam 8 pagi dan akan berakhir di lokasi sama.
Menurutnya, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan menyertai kayuhan terbabit yang merupakan amalan baginda sejak beberapa tahun lalu.
"Sepanjang kayuhan itu kita akan singgah di tiga buah rumah asnaf untuk sampaikan bantuan kit barangan keperluan dan juga wang tunai.
"Selain itu, kita juga akan singgah bergambar di beberapa lokasi menarik di sepanjang laluan berkenaan sebagai promosi pelancongan negeri Perlis,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Tambah Ashidan, penglibatan agensi luar seperti Sinar Harian dalam kayuhan terbabit memberi gambaran lebih jelas cara Tuanku Syed Faizuddin menyantuni rakyat.
"Pertamanya terima kasih kepada Sinar Harian sebab sudi memilih Perlis sebagai lokasi jelajah kali ini.
"Sebelum ini pun ada agensi lain yang mai bekerjasama dengan kami. Apa yang saya lihat, kayuhan ini dapat menjana idea baru untuk jabatan mereka dari segi CSR dan kesihatan kakitangan mereka,” katanya.
Ashidan berkata, selain menjadi platform promosi pelancongan Perlis, kayuhan bersama agensi luar ini juga akan menambah ilmu pengetahuan rakyat negeri terbabit.
"Apabila agensi dari luar dapat turun ke Perlis dan berkongsi maklumat yang mereka ada, masyarakat kita akan lebih cakna dengan segala informasi penting yang mungkin mereka terlepas pandang sebelum ini,” katanya.