RM4 cukup masak nasi goreng sosej sekeluarga

Iklan
Luahan seorang wanita menggunakan baki wang yang ada untuk mengisi perut anak-anak dengan menyediakan nasi goreng sosej sementara menunggu suaminya gaji dua hari lagi.

SHAH ALAM - Dengan hanya RM4, seorang wanita berikhtiar menggunakan wang yang ada itu untuk menyediakan makanan buat mereka sekeluarga.

Situasi itu dikongsikan seorang pengguna media sosial, Deksya Schamilia menerusi hantaran dalam satu grup Facebook pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Wanita itu memaklumkan, duit dalam akaun hanya berbaki RM4 untuk digunakan dua hari lagi sementara menunggu suami mendapat gaji.

Menurutnya, wang itu mulanya mahu digunakan untuk membeli ikan di kedai namun hasrat itu terbantut selepas melihat keadaan ikan dalam kurang memuaskan.

Iklan

"Ke kedai cadang nak beli ikan tapi ikan tak segar kemudian nampak sosej terus ambil.

"Tapi sosej harga RM4.20, selok-selok poket, Alhamdulillah ada 20 sen. Alhamdulillah, jadilah nasi goreng sosej," kongsi wanita itu di hantaran tersebut.

Iklan

Wanita itu menjelaskan, perkongsian tersebut bukan untuk meraih simpati sebaliknya sebagai kata-kata semangat untuk cekal bertahan.

"Semoga semua terus kuat hadapi ujian yang mendatang.

"Hantaran ini bukan minta simpati tapi nak sampaikan walaupun ada RM4 saja, macam-macam boleh buat kan.

"Harap esok boleh bertahan, mencabar bila cuti sekolah ni.. anak kejap-kejap lapar," katanya.

Hantaran tersebut pada Sabtu telah menerima 10,000 tanda suka, 1,100 komen serta 465 menekan butang kongsi.

Menerusi hantaran sama, ramai yang meluahkan rasa simpati dan ramai juga berkongsi pengalaman pernah mengalami fasa susah seperti itu.

Seorang pengguna media sosial memberitahu pernah mengalami fasa tersebut pada 2021 selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila terpaksa mencatu makan anak-anak yang lapar pada waktu malam kerana hanya tinggal sebungkus bihun dan sebiji telur untuk dibuat sarapan keesokan harinya.

Turut berkongsi pengalaman seorang suami yang membesarkan anak seramai tujuh orang melalui fasa hidup susah selama enam tahun hingga pernah sampai tidak makan selain terpaksa kutip kotak serta besi demi memberi isteri dan anak-anak makan.

Sementara itu, ibu kepada enam anak turut berkongsi situasi anak-anak tidak memilih makanan sewaktu dimasak nasi goreng kosong yang hanya ditumbuk bawang putih dan garam selepas terputus bekalan lauk termasuk telur selama dua ke tiga hari.