KOTA BHARU - Persatuan Pengusaha-Pengusaha Restoran Melayu Kelantan (Permeka) merayu kerajaan Kelantan menangguhkan permohonan mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sehingga Januari 2026.
Pengerusinya, Nik Hassan Mohd Zain berkata, masih ramai dalam kalangan pemilik restoran yang mendakwa tidak menerima sebarang notis dan hanya mengetahui perkara itu ketika memperbaharui lesen perniagaan.
Menurut beliau, pelaksanaan itu tidak sesuai kerana dalam keadaan tergesa-gesa menyebabkan ramai pemilik restoran tidak menyedari pelaksanaan berkenaan.
"Kami merayu penangguhan itu berikutan ramai peniaga yang belum bersedia. Sepatutnya pihak berkuasa perlu menguar-uarkan notis sekurang-kurangnya enam bulan melalui pekeliling atau media sosial sebelum permohonan dibuat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Nik Hassan turut mencadangkan kesemua peniaga diberi kesedaran dan pendidikan sepanjang 2025 dengan mewajibkan kursus berkaitan sebelum melayakkan mereka membuat permohonan.
Tambah beliau, pengusaha restoran juga berdepan masalah kewangan dan perlu mengambil masa untuk menyediakan semua perkara yang diwajibkan sebagai syarat lesen.
Jelasnya lagi, PBT juga perlu mengkaji semula masa yang ditetapkan berikutan kebanyakan pengusaha restoran terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS) dan tidak mampu menyediakan keperluan dalam masa singkat kerana kos yang tinggi.
"Kami perlu mendapatkan SPHM daripada pembekal yang mungkin mengambil masa lebih dari tiga bulan terutama jika melibatkan bekalan ayam dan bahan-bahan dari luar negara termasuk Thailand.
"Kemampuan kos peniaga juga antara faktor penting kerana ada syarat yang memerlukan mereka membaik pulih restoran atau ruang dapur," katanya.
Dalam pada itu, Nik Hassan memaklumkan sudah menghantar surat kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI) untuk membincangkan beberapa masalah yang dihadapi peniaga berkaitan permohonan sijil halal.
"Perkara ini perlu dibincangkan bersama termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) mengenai keperluan untuk mendapatkan sijil halal," katanya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan, kerajaan Kelantan mensyaratkan pemilik dan pengusaha premis berasaskan makanan serta minuman memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.
Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, setakat ini pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mewajibkan perkara tersebut.