MPP UMS tidak saran mahasiswa sertai perhimpunan 31 Disember ini

Iklan
Laporan Sinar Harian berkait himpunan pada 31 Disember ini.

KOTA KINABALU - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (MPP UMS) menyatakan pendirian bahawa pihaknya tidak menyarankan mahasiswa menyertai perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah, atas dasar keselamatan dan kebimbangan terhadap tuntutan yang seolah-olah mencabar keluhuran undang-undang.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan MPP UMS, keputusan itu diambil selepas penilaian dan perbincangan dibuat secara menyeluruh oleh semua ahli MPP UMS.

Iklan
Iklan

"Kami menekankan bahawa keselamatan mahasiswa adalah keutamaan kami. Lokasi perhimpunan yang dirancang, seperti jalan raya utama, adalah kawasan strategik tetapi berisiko.

"Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap potensi bahaya lalu lintas dan kemungkinan keadaan yang tidak teratur semasa perhimpunan berlangsung.

Iklan

"Tambahan pula, terdapat pertembungan antara dua perhimpunan dengan objektif yang berlainan, yang berpotensi mencetuskan provokasi dan meningkatkan risiko keselamatan," kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Bagaimanapun, MPP UMS tidak menghalang mana-mana individu untuk menyertai perhimpunan tersebut kerana menghormati hak kebebasan individu untuk menyuarakan pendapat dan menuntut perubahan, sebagaimana yang tertera pada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Iklan

"Kami juga maklum bahawa perhimpunan ini telah mendapat kebenaran daripada Ketua Polis Kota Kinabalu. Sekiranya terdapat mahasiswa yang tetap memilih untuk menghadiri perhimpunan ini, tanggungjawab sepenuhnya adalah di bawah kendalian mereka sendiri.

"Peserta diharap sentiasa mengutamakan keselamatan diri dalam setiap situasi yang mungkin berlaku," katanya.

Namun dalam masa sama, MPP UMS turut menyatakan kebimbangan terhadap salah satu tuntutan himpunan tersebut adalah bantahan terhadap pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang berpotensi melanggar Seksyen 121B Kanun Keseksaan (Akta 574).

"Seksyen ini memperuntukkan hukuman berat terhadap sebarang tindakan yang mencabar kedudukan Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

"Walaupun hak untuk menyuarakan pendapat adalah dijamin dalam Perlembagaan, kami ingin menegaskan bahawa proses pelantikan Yang di-Pertua Negeri merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong, yang dilaksanakan setelah mendapat nasihat daripada Ketua Menteri Sabah, selaras dengan Perkara 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah.

"Sehubungan itu, sebarang bantahan terhadap pelantikan ini haruslah dilakukan melalui saluran yang sah dan dengan penuh penghormatan terhadap keluhuran undang-undang negara," katanya.

Sebelum itu, difahamkan sekumpulan pelajar UMS yang menggelarkan diri sebagai Suara Mahasiswa UMS merancang penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah pada 31 Disember ini.

Selain itu, terdapat satu lagi himpunan tular di media sosial dan dianjurkan pihak berlainan dikenali sebagai Himpunan Aman Bangkit Sabahan diadakan pada hari yang sama sekitar jam 2 petang di hadapan Menara Kinabalu.