KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menetapkan tujuh kategori premis makanan yang perlu mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi membolehkan premis mendapat Lesen Kekal Perniagaan di negeri ini.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, syarat itu termasuk juga bagi premis milik bukan Islam yang dilanggani pelanggan beragama Islam.
"Persijilan halal dikuatkuasakan ke atas tujuh kategori perniagaan makanan iaitu dapur hotel, premis di lapangan terbang, pusat beli-belah, kopitiam, restoran berantai, restoran makanan segera atau francais dan kedai kek, roti serta kilang perusahaan bagi memperoleh Lesen Kekal Perniagaan.
"Persijilan halal juga disyaratkan bagi premis milik bukan Islam yang menerima pelanggan Islam untuk premis mendapatkan Lesen Kekal Perniagaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.
Katanya, pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mempunyai kuasa mengeluarkan lesen di bawah Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian 1985.
"Lesen Kekal Perniagaan yang dikeluarkan kepada tujuh kategori perniagaan itu juga akan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa negeri.
"MPKB-BRI juga mengambil inisiatif mengeluarkan Lesen Sementara sehingga kesemua tujuh kategori perniagaan itu mendapat SPHM masing-masing dan mereka dapat beroperasi seperti biasa dalam tempoh satu tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Hilmi menegaskan isu sekatan terhadap hidangan Bak Kut Teh, Char Siu dan Siu Yuk (khinzir panggang) sebagaimana dibangkitkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching adalah tidak tepat kerana makanan tidak halal boleh terus dijual di kesemua premis khusus untuk bukan Islam.
"Isu ini langsung tidak berkaitan dengan pelaksanaan sijil halal dan kenyataan itu hanya menimbulkan kekeliruan dan tidak berasas,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Kelantan sangat cakna dalam memastikan keharmonian masyarakat dan kebebasan beragama di samping mengekalkan prinsip-prinsip pentadbiran Islam yang adil lagi inklusif.
"Kerajaan negeri sentiasa menghormati hak peniaga bukan Islam untuk mengusahakan perniagaan mengikut kepercayaan dan keperluan komuniti masing-masing.
"Pelaksanaan sijil halal hanya terpakai kepada premis makanan yang ingin mendapatkan pengiktirafan tersebut dan tidak memberi kesan kepada perniagaan bukan Islam yang tidak memohon sijil berkenaan,” jelasnya.