SHAH ALAM - Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh yang mempertikai pengampunan diraja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas satu tindakan dangkal.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, keberadaan rayuan Anwar dalam Lembaga Pengampunan dapat dilihat menerusi kenyataan media pembebasan penuh beliau yang dikeluarkan Istana Negara pada 16 Mei 2018.
Menurutnya, keluarga presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga mengemukakan permohonan pengampunan diraja sejak 24 Februari 2015, ditolak dan kembali membuat rayuan.
"Rayuan yang dibuatlah membolehkan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan memberi pengampunan tersebut.
"Mahkamah Persekutuan juga mengesahkan penghakiman Mahkamah Rayuan pada 2021 bahawa Lembaga Pengampunan yang mengurniakan pengampunan kepada Anwar dibentuk secara sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Tak mungkin tiada seorang pun peguam dalam kalangan pemuda UMNO yang Dr Muhammad Akmal boleh rujuk berhubung perkara ini," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan, berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi pengampunan, menunda dan melegakan hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.
Menurut kenyataan terbabit, Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan pula antara lain memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.
Susulan itu, Dr Muhammad Akmal memberikan respons ringkas dengan mengatakan perkara tersebut sudah boleh dijangka.
_____________________________________________________________
'Ketua Pemuda UMNO jangan jadi gunting dalam lipatan' - Syed Badli Shah
SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh tidak sepatutnya mempersoalkan prosedur pengampunan kes Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana kedua-duanya memiliki senario yang berbeza.
Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Anwar memperoleh pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong kerana baginda pada ketika itu menganggap kes berkenaan terdapat pelanggaran prinsip keadilan.
Menurut beliau, pengampunan terhadap Najib pula sudah diperoleh, namun terdapat perintah tambahan (Adendum) yang kini menjadi pertikaian tentang kewujudannya.
"Saya tak faham tujuan Dr Muhammad Akmal pertikai sama ada pengampunan Anwar dahulu dipohon melalui Lembaga Pengampunan atau tidak.
"Sekiranya beliau berhasrat untuk dilihat jaguh dengan menyerang perdana menteri, sekali gus persoal kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC), ternyata beliau seorang pemimpin yang suka adu domba dan gunting dalam lipatan.
"Beliau tak patut persoal kerana kedua-duanya terdapat senario berbeza," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
AGC memaklumkan, berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi pengampunan, menunda dan melegakan hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.
Menurut kenyataan terbabit, Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan pula antara lain memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.
Susulan itu, Dr Muhammad Akmal memberikan respons ringkas dengan mengatakan perkara tersebut sudah boleh dijangka.
Syed Badli Shah berpandangan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu patut lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Ia kerana menurutnya, tindakan dangkal sebegitu mampu menjejaskan keharmonian Kerajaan Madani.
"Kalau tak mampu menyumbang kepada pengukuhan, janganlah jadi tangan-tangan yang meruntuhkan perpaduan," ujarnya lagi.