JOHOR BAHRU - Seorang pemandu bas persiaran didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Ahad atas pertuduhan melakukan khianat terhadap kereta milik seorang wanita warga Taiwan, 20 Disember lalu.
Mohd Nazri Elias, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin setelah pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Hidayatul Syuhada turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara setahun, jika gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat tersebut dengan melakukan kerosakan memecahkan cermin besar hadapan serta mencalar kereta jenis Peugeot warna kelabu sehingga menyebabkan kerugian RM5,000 terhadap mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di KM0.3 Jalan Pantau menuju ke Permas Jaya di sini, jam 9.05 malam, 20 Disember lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.