Tindakan bertentangan realiti masyarakat majmuk - Ahli Parlimen PJ

Iklan
Lee Chean Chung

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menyifatkan tindakan kerajaan Kelantan yang mewajibkan setiap premis makanan mendapatkan pensijilan halal sebagai satu langkah bertentangan dengan realiti masyarakat majmuk di Malaysia.

Beliau berkata, keputusan berkenaan berpotensi meningkatkan kos perniagaan terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia berikutan golongan tersebut perlu mengeluarkan lebih banyak modal kerana mempunyai jumlah pelanggan lebih sedikit dan cawangan terhad berbanding syarikat besar yang memiliki banyak rangkaian.

"Saya ambil contoh kedai tunggal, warung Melayu dan gerai tepi jalan yang bakal menanggung purata kos pensijilan lebih tinggi disebabkan bilangan pelanggan lebih kecil.

Iklan

"Sama seperti kafe moden tunggal diusahakan komuniti kerana mereka perlu bersaing dengan rantaian kafe gergasi yang mempunyai ratusan cawangan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan kerajaan negeri Kelantan yang mewajibkan pensijilan halal dalam kalangan pengusaha makanan dan minuman di negeri itu, bermula di daerah Kota Bharu sebelum diperluaskan ke seluruh negeri.

Iklan

Difahamkan, sebanyak 453 sijil halal telah dikeluarkan kepada pelbagai perniagaan di Kelantan, termasuk restoran, hotel, farmasi dan kedai rambut.

Dalam pada itu Chean Chung yang juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa, perusahaan bukan Islam yang mempunyai pelanggan pelbagai kaum akan menerima kesan yang mendalam.

"Misalannya, kopitiam tradisi yang diusahakan oleh bangsa Tionghua biasanya akan 'memotong' makanan bungkusan seperti nasi lemak, nasi dagang dan nasi beriani daripada pengusaha Melayu.

"Lazimnya kebanyakan umat Islam yang menyediakan makanan dari rumah atau secara kecil-kecilan tidak mempunyai persijilan halal. Kopitiam sebegini perlu memastikan kesemua sumber bahan makanan mereka telah diiktiraf halal bagi menjamin persijilan halal mereka tidak terjejas," katanya.

Beliau berkata, kesan sampingannya amat dahsyat, sama ada kedai ini ditutup atau pengusaha kecil ini tidak lagi menjadi pembekal kepada kopitiam dan juga ditutup.

Chean Chung mengakui beliau menghormati kerajaan Pas Kelantan yang bercita-cita merancakkan industri halal di negeri berkenaan.

Namun, beliau menasihatkan kerajaan negeri agar berhati-hati kerana sekiranya tersilap langkah, ia akan membawa kepada kesan yang lebih parah kepada rakyat dan ekonomi negeri.

"Biar lambat, asal selamat,” katanya.