KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir melanda Kemaman susulan amaran hujan berterusan tahap buruk bermula hari ini sehingga Selasa.
Menurut hebahan yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), kawasan-kawasan yang rendah dalam lingkungan 5 kilometer di sekitar Sungai Tebak di Jambatan Tebak; Kampung Teladas; Kampung Air Putih; Kampung Dadong; Kampung Batu 16 Tebak dan Jambatan Air Putih dijangka dilanda banjir.
Iklan
Iklan
Menurut kenyataan itu, banjir diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.
Justeru, semua penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir perlu berwaspada dan mematuhi arahan ditetapkan oleh pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: PubliclnfoBanjir.
Pada Sabtu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di empat negeri bermula hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan keadaan cuaca itu diramalkan melanda timur dan barat Sabah bermula Sabtu sehingga 30 Disember manakala Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula dari Ahad sehingga 31 Disember ini.