PONTIAN - Musim durian pada penghujung tahun menjadikan raja buah itu terus menjadi buruan peminatnya khususnya dari Singapura.
Meskipun tidak sehebat Raub, Pahang yang terkenal dengan durian musang king namun durian kampung premium dari Kukup iaitu kesep merah semakin mendapat perhatian.
Menurut peraih dan penjual durian, Rohaizad Abdul Rashid, 44, kesep merah hanya terdapat di Kukup dengan pengeluaran sangat terhad setiap kali musim durian.
"Kalau sebut tentang durian pasti ramai terbayangkan keenakan musang king, D24, bahkan durian kampung sekalipun.
"Tetapi jika disebut tentang kesep merah pasti ramai kurang mengetahui kewujudannya yang hanya terdapat di Kukup.
"Biji durian kesep merah sangat kecil, isi durian sangat tebal, rasa manis dan lemak. Ramai yang beritahu rasanya lebih enak daripada musang king," katanya.
Jelasnya, pengeluran yang terhad sekitar 200 kilogram pada musim kali ini, membuatkan durian berkenaan perlu ditempah dahulu dengan harga sekitar RM35 sekilogram.
Rohaizad yang sudah 20 tahun menjadi peraih memberitahu, selain kesep merah, pelbagai durian lain turut dijual antaranya udang merah Kukup, duri hitam, durian kampung dan musang king.
"Durian udang merah Kukup datang dari beberapa kawasan seperti Kampung Sungai Durian, Serkat, Telok Kerang dan Rambah. Kebanyakan pokoknya telah berusia lebih 20 tahun.
"Memandangkan tanaman durian di Kukup ditanam di atas tanah liat, rasanya ada yang manis, lemak dan pahit sekali gus menarik minat pelanggan untuk membelinya.
"Dianggarkan keluasan tanaman durian ini kira-kira 10 hektar dengan setiap pemilik mempunyai 0.4 hingga 1.2 hektar atau kurang daripada itu,” ujarnya lagi.
Jelasnya, sejak durian mula gugur tiga bulan lalu, gerainya di Pekan Permas Kukup menjadi perhatian pembeli dan pekebun kecil durian yang menghantar hasil.
"Walaupun cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini, namun durian tetap menjadi sekali gus memberi rezeki kepada peniaga dan pekebun.
"Selain itu saya juga akan pergi dari satu kebun durian ke kebun durian lain pada awal pagi dengan membeli terus daripada pekebun mengikut harga pasaran semasa.
"Kalau dahulu musim durian setahun sekali, sekarang tidak tentu. Tahun ini sahaja sudah dua kali musim," katanya.
Tambahnya, dia menjual durian udang merah Kukup ini mengikut gred, di mana Gred A dengan harga RM28 sekilogram, Gred B (RM20) dan Gred C (RM15).