‘Tiada undang-undang wajibkan mohon sijil halal, ia bersifat sukarela’ - KP Jakim

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung gesaan Sementa agar Kelantan pertimbang semula wajibkan sijil halal.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tiada undang-undang yang mewajibkan mana-mana pihak untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan ia masih bersifat sukarela.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 September lalu bersetuju mengekalkan dasar sedia ada tersebut iaitu permohonan SPHM dilaksanakan pihaknya bersama majlis atau jabatan agama Islam Negeri (MAIN/JAIN).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, dasar itu terbuka kepada mana-mana pihak yang bersedia mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal serta perundangan, malah ia mampu memberikan nilai tambah buat pemegang sijil.

"Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] memperuntukkan di bawah seksyen 28 dan 29 mengenai pewujudan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Iklan

"Perintah ini dikuatkuasakan bagi mengawal semua perkara berkaitan halal di negara ini. Perenggan Tiga Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 memberi kuasa kepada Jakim dan MAIN/JAIN untuk memperakui makanan, barang atau perkhidmatan yang berkaitan adalah halal.

"Ia masih bersifat sukarela dan terbuka. Tidak ada undang-undang yang mewajibkan mana-mana pihak untuk memohon pensijilan halal," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor ming menegaskan, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menghormati bidang kuasa Jakim berkaitan pemilikan sijil halal.

Kata beliau, PBT tidak boleh mengenakan syarat wajib kepada peniaga untuk mendapatkan SPHM bagi memperbaharui lesen perniagaan.

Terbaharu, Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan Kelantan mempertimbangkan semula keputusannya mewajibkan pensijilan halal dalam kalangan pengusaha makanan dan minuman (F&B) di negeri itu.

Presiden Samenta, Datuk William Ng memberitahu, pensijilan halal tidak patut diwajibkan kerana ia akan meningkatkan beban dan kos tambahan kepada perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peniaga kecil.

Dakwanya lagi, proses pensijilan halal boleh mencecah sehingga RM200,000 untuk setiap premis jika pengubahsuaian diperlukan dan RM50,000 setahun jika seorang penyelaras halal dilantik, di samping kos latihan pekerja baharu atau sedia ada.

Mengulas lanjut, Sirajuddin menjelaskan, tindakan PBT mewajibkan pengusaha premis F&B memiliki SPHM antara usaha meningkatkan bilangan pemegang sijil di sesebuah lokasi.

"Dalam masa sama, Jakim berharap agar penjelasan yang tuntas dan menyeluruh dapat diberikan oleh PBT berkaitan pelaksanaan dasar baharu ini.

"Ia bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan pengusaha dan orang ramai," ujar beliau.