SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan tidak akan tunduk kepada ancaman ekstremis dan terus mempertahankan kebebasan asasi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menerusi hantaran di X, beliau turut menyatakan akan terus mempromosikan keharmonian kaum dan agama di negara ini.
Iklan
Iklan
"Saya seorang menteri untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya ringkas pada Ahad.
Kor Ming pada Sabtu menempelak Pas kerana bersikap hipokrit terhadap sambutan Hari Krismas yang diadakan di pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini.
Beliau mendakwa pendirian parti tersebut tidak konsisten apabila memberi kenyataan bercanggah tentang perayaan berkenaan kerana turut memberikan ucapan selamat menyambut Hari Krismas pada Selasa.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Ahad menyatakan tindakan undang-undang terhadap Kor Ming akan diambil susulan kenyataannya mendakwa parti berkenaan sebagai sesat, menyebarkan ajaran sesat, menunggang agama, merosakkan keharmonian masyarakat dan menyekat sambutan Krismas.
Menurutnya, tuduhan Naib Presiden DAP itu dipercayai berpunca daripada teguran dan kemusykilan ditimbulkan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Hanif Jamaluddin mengenai kehadiran orang Islam dalam majlis sambutan Krismas anjuran kementerian itu.