PERSEKUTUAN Mendaki Malaysia (PMM) menyasarkan untuk sekurang-kurangnya seorang atlet panjat dinding negara menjejakkan kaki di pentas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Presidennya, Mohd Zaidi Kamaruddin berkata, ia bukan sesuatu yang mustahil memandangkan sukan tersebut ketika ini sedang berkembang pesat di Malaysia.
Bagaimanapun, beliau berkata, masalah yang dihadapi persatuan ketika ini adalah dari segi kewangan dan ia sangat penting terutama untuk menghantar atlet menyertai kejohanan di luar negara.
"Saya nampak permintaan sukan ini (panjat dinding) memang menggalakkan apabila kita lihat banyak gim (untuk sukan itu) dibina dan bakat baharu sudah mula muncul.
"Saya yakin sekiranya sokongan kewangan diberikan sukan ini mampu pergi lebih jauh,” katanya ketika ditemui Bernama di sesi pemilihan atlet kebangsaan hari ini.
Mengulas berkenaan sesi pemilihan itu, Mohd Zaidi berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan.
Beliau berkata, satu lagi sesi pemilihan akan diadakan pada Februari depan untuk membentuk skuad bagi mewakili negara di kejohanan antarabangsa termasuk Sukan SEA Thailand pada Disember tahun depan.
Sementara itu, Shareen Mohd Nasran mengungguli kategori bouldering wanita pada sesi pemilihan tersebut apabila berjaya melengkapkan tiga daripada empat route dengan menawan tiga top dan empat zon menerusi 21 percubaan keseluruhan.
Tempat kedua bagi kategori bouldering wanita dimenangi Wan Athirah Hidayah Ahmad Fuzli yang hanya dibezakan dengan satu top manakala Tan Sui Lin Renee di tempat ketiga dengan dua top tiga zon.
Bagi kategori lelaki pula diungguli atlet kelahiran Kedah Dzulkram Alzam Mohd Zamri selepas melengkapkan dua dari empat route dengan menawan dua top dan empat zon menerusi 23 percubaan keseluruhan.
Tempat kedua bagi kategori lelaki dimenangi Ayman Firas yang mengumpul satu top tiga zon manakala tempat ketiga diraih Ku Muhammad Faridhwan Ku Aziz yang dibezakan dengan satu zon. - Bernama