'Dr Akmal wajar tarik semula kenyataan’ - Adam Adli

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Dr Akmal (kiri), Adam Adli

SHAH ALAM - Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh yang mempertikaikan pengampunan diraja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar ditarik semula.

Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli Abd Halim berkata, pengurniaan pengampunan bukan keputusan yang dilakukan sewenang-wenangnya mengikut desakan politik, namun dilindungi mekanisme yang ditetapkan undang-undang dan perlembagaan.

Iklan
Iklan

"Jangan kita pertikaikan bidang kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sehingga mencalarkan pandangan terhadap keluhuran institusi.

"Jika tidak berhati-hati, kenyataan tersebut bukan lagi sekadar serangan politik, tetapi juga boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak menghormati institusi Raja dan undang-undang tertinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Selain itu, Adam Adli turut meminta Dr Akmal untuk berwaspada dengan kenyataan mempersoalkan pengampunan Menteri Kewangan itu.

"Mahkamah Rayuan pada 2021 juga pernah membatalkan satu saman mempertikaikan pengampunan diraja yang dikurniakan kepada Anwar Ibrahim.

Iklan

"Hal ini telah diputuskan secara tuntas melalui keputusan mahkamah, sewaktu Anwar dan (Pakatan) Harapan berada di blok pembangkang,” ujarnya.

Adam Adli turut mengingatkan Dr Akmal bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa dan disabitkan kesalahan pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

"(Najib) dijatuhkan hukuman penjara pada 2022 ketika zaman (pentadbiran) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Semuanya melalui proses undang-undang yang tidak dipertikaikan, namun yang terus diserang adalah pentadbiran Anwar Ibrahim,” katanya.

Sebelum ini, Najib dilaporkan perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.

Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan, berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi pengampunan, menunda dan melegakan hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Menurut kenyataan terbabit, Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan pula antara lain memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

Susulan itu, Dr Akmal memberikan respons ringkas dengan mengatakan perkara tersebut sudah boleh dijangka.