Empat PPS mula dibuka di Kelantan babitkan 43 mangsa

Iklan
Antara mangsa banjir di Tanah Merah yang ditempatkan di empat PPS membabitkan SK Lawang, SK Kelewek, SMK Tan Sri Mohamad Yaakob dan SK Gual Jedok - Gambar hiasan

KOTA BHARU - Empat pusat pemindahan sementara (PPS) mula dibuka di Tanah Merah petang ini melibatkan 43 mangsa banjir daripada 14 keluarga.

Berdasarkan Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 13 orang daripada enam keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lawang manakala 13 orang lagi daripada tiga keluarga berlindung di SK Kelewek.

Iklan
Iklan

Selain itu, 17 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Mohamad Yaakob dan 28 mangsa daripada lapan keluarga di SK Gual Jedok.

Sementara itu, menurut portal infobanjir.water.gov.my paras Sungai Golok di Kampung Jenob Tanah Merah berada pada paras amaran iaitu 23.32 meter.

Iklan

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini melaporkan hujan lebat berterusan dijangka melanda seluruh Terengganu hingga esok selain di Kuantan, Pahang serta beberapa daerah di Kelantan seperti Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh, dan Kuala Krai.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Kelantan termasuk Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, dan Gua Musang, serta di Jerantut, Maran, Pekan, dan Rompin di Pahang dan Mersing di Johor. - Bernama

Iklan