CANBERRA - Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mengumumkan bantuan kecemasan bencana kepada penduduk yang terjejas akibat kebakaran belukar besar di tenggara negara itu, lapor Xinhua.
Albanese pada Ahad meninjau kerosakan yang disebabkan oleh kebakaran belukar yang berterusan di Taman Negara Grampians, kira-kira 230 kilometer barat Melbourne, bersama Ketua Menteri negeri Victoria Jacinta Allan.
Albanese memberitahu pemberita bahawa bayaran pemulihan bencana oleh kerajaan persekutuan dan negeri akan tersedia mulai Isnin untuk pekerja dan peniaga kecil yang terjejas secara langsung oleh kebakaran itu.
"Ini telah menjadi kejadian kebakaran yang dahsyat," katanya.
Kebakaran hutan itu tercetus akibat panahan petir pada 6 Disember dan telah memusnahkan lebih 70,000 hektar tanah ladang, taman negara dan harta persendirian.
Tiada kecederaan dilaporkan, namun sekurang-kurangnya tiga rumah musnah dan sejumlah besar ternakan mati.
Sementara itu, pihak berkuasa memberi amaran bahawa kebakaran itu dijangka terus marak selama beberapa minggu. - Bernama