PEMAIN bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC didakwa tidak menerima gaji selama sembilan bulan walaupun beberapa hari lagi tahun 2024 akan melabuh tirai.
Seorang wanita yang dipercayai isteri kepada pemain Kedah, Muhammad Irfan Zakaria menyatakan dakwaan tersebut yang dimuatkan di media sosial sebelum tular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.
Wanita yang dikenali sebagai Miza Izhar mendakwa suaminya sudah tidak menerima gaji selama dalam tempoh tersebut dan meminta kelab tersebut ditutup jika sudah tidak mempunyai kewangan.
"Sampai bila Kedah FC ini nak berhutang dengan player (pemain)? Kalau tak ada duit, tutup sahajalah.
"Tak rasa berdosa ke aniaya orang? Player (pemain) ada anak bini (isteri) nak tanggung ada komitmen lain.
"Sembilan bulan sudah woiii, teruk betullah team (pasukan) macam ini," katanya di media sosial miliknya.
Masalah kewangan yang menimpa Sang Kenari bukan isu baru malah barisan pemain pernah memboikot latihan dan enggan menyertai perlawanan walaupun sudah disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan sebelum ini.
Biarpun berdepan masalah tersebut, KDA FC dilihat terus berjuang di dalam saingan Liga Super dan berjaya menewaskan Penang FC 1-0 pada aksi derbi utara pada 18 Disember lalu di Alor Setar dan berada di tangga kesembilan dengan 17 mata selepas 16 perlawanan.
Sang Kenari juga berjaya mara ke separuh akhir MFL Challenge Cup untuk bertemu PDRM FC pada 18 Januari di Selayang bagi aksi pertama dan 1 Februari pula untuk aksi timbal balik di Alor Setar.