AMPANG JAYA - Polis menahan seorang guru mengaji al-Quran warga Afrika selepas dipercayai merotan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di Kampung Melayu Ampang di sini pada Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintenden Nazruel Ekram Abu Saare berkata, bapa mangsa berusia 40 tahun yang merupakan warga Somalia tampil membuat laporan polis selepas mengesan kecederaan pada badan anaknya.
Menurutnya, bapa mangsa mendapati terdapat kesan luka di belakang badan anaknya akibat dipukul suspek berusia 37 tahun menggunakan rotan.
"Punca mangsa dipukul adalah kerana enggan membaca al-Quran seperti diarah oleh suspek.
"Mangsa yang baru seminggu belajar di situ kemudian dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut.
"Susulan itu, suspek ditahan pada 5.45 petang pada Isnin oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya di Jalan Permai, Taman Dato Ahmad Razali," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Nazruel Ekram berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencing pula negatif dadah.
Tambah beliau, suspek direman seminggu bermula 24 Disember lalu hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Jelasnya, siasatan merujuk kepada penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
"Pihak polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan penderaan atau pengabaian pada kanak-kanak," katanya.